Dasar Kebajikan Masyarakat Negara yang mula digubal pada tahun 1990 meletakkan warga emas sebagai salah satu kumpulan sasaran yang diberi tumpuan penting ekoran daripada peningkatan masalah sosial melibatkan kumpulan tersebut, termasuklah penganiayaan dan pengabaian terhadap orang tua. Masalah sosial seperti ini pastinya mengganggu kesejahteraan negara sekaligus meninggalkan impak negatif.
Perundangan elak dera
Dalam matlamat pembangunan mampan ketiga, kerajaan menggariskan beberapa perkara berkenaan kesihatan dan kesejahteraan bagi memastikan kehidupan yang sihat untuk semua lapisan umur. Islam juga merujuk masalah sosial yang berlaku dalam kalangan masyarakat dengan istilah yang khusus, fasad fi al-ardh wa yasfiku al-dima’ iaitu kerosakan dan pertumpahan darah di muka bumi. Lantaran itu, Dasar Kebajikan Masyarakat Negara ini digubal bagi mewujudkan suatu keadilan sosial dalam masyarakat di Malaysia, termasuklah dalam kalangan warga emas.
Di Malaysia, laporan terbaharu yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencatatkan peningkatan sebanyak 20 peratus kes penderaan dan pengabaian ibu bapa oleh ahli keluarga sendiri. Kajian menunjukkan 1 daripada 100 orang warga emas di Malaysia pernah ditipu dalam soal kewangan. Penipuan ini dilakukan oleh ahli keluarga sendiri atau yang melibatkan sindiket. Golongan ini sering menjadi sasaran berikutan mereka dianggap rentan dan tidak lagi berdaya untuk melawan. Bahkan, dengan perkembangan teknologi yang semakin pesat membuatkan mereka lebih banyak ketinggalan dan kurang pengetahuan tentang sindiket penipuan yang berleluasa.
Sehingga artikel ini ditulis, masih belum wujud apa-apa pindaan peruntukan undang-undang khusus terkait warga emas. Turut dilaporkan bahawa pada 2019, satu rang undang-undang warga emas dicadang untuk dibentangkan di parlimen pada awal tahun 2021. Pun begitu, usaha awal Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyatakan bahawa satu rang undang-undang warga emas akan dicadangkan bagi dibentangkan di Parlimen nampaknya belum berjaya dilaksanakan.
Dari aspek hak warga emas, masih belum ada undang-undang khusus yang dipinda bagi maksud ini sebagaimana Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611). Peruntukan undang-undang yang ada bersifat umum ke atas semua lapisan masyarakat tanpa memberi perlindungan khas ke atas warga emas. Sebagai contoh, perkara 5 sehingga 13 Perlembagaan Persekutuan menyentuh tentang aspek kebebasan diri, kesamarataan undang-undang dan sebagainya secara umum; tanpa menyebut secara khusus kepada golongan warga emas.
Aspek perundangan amat penting bagi memastikan penguatkuasaan dalam membanteras kes penderaan dan pengabaian ini dapat dilakukan dengan sistematik. Namun begitu, sejauh manakah perundangan sedia ada dapat memastikan perlindungan warga emas di Malaysia dijamin?
Cadangan kerajaan untuk memperkenalkan akta khusus bagi melindungi kebajikan warga emas amat tepat pada masanya memandangkan jumlah mereka yang semakin bertambah saban tahun. Hal ini adalah ekoran kes penderaan dan pengabaian warga emas yang semakin meningkat dan masih terdapat banyak lagi kes yang tidak dilaporkan. Selain untuk menjamin kebajikan warga emas di negara kita, langkah ini juga adalah sesuai sebagai satu persediaan Malaysia menjadi negara tua menjelang tahun 2035.
Bagi tujuan ini, Malaysia boleh mengambil pendekatan untuk menggubal Akta Warga Emas sepertimana Akta Kanak-Kanak 2001 yang khusus kepada kanak-kanak dibuat. Hal ini adalah penting untuk mengawal kes penderaan dan pengabaian warga emas pada masa hadapan.
Satu cadangan agar Malaysia menetapkan had umur warga emas yang khusus di dalam undang-undang turut boleh dilakukan, oleh kerana tiada penetapan dan kesepakatan tentang berapa had umur warga emas itu sama ada di Malaysia mahu pun di luar negara. Sebagai contoh, negara maju meletakkan had umur warga emas ialah 65 tahun dan ke atas memandangkan kehidupan warga emas mereka pada usia tersebut masih sihat dan bertenaga. Di samping itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Kebajikan dan Masyarakat mengkategorikan warga emas kepada tua muda, tua-tua dan paling tua-tua. Kategori ini dibuat bagi memudahkan pendekatan aktiviti sesuai dengan lapisan usia yang berbeza. Manakala Dasar Warga Emas Negara pula meletakkan umur 60 tahun dan ke atas sebagai kategori warga emas. Oleh itu, langkah untuk meletakkan penetapan kepada had usia warga emas ini mungkin boleh dibuat sebagai permulaan kepada hari yang cerah dan bagi memudahkan pelbagai urusan berkaitan warga emas di Malaysia pada masa hadapan.
Kerajaan juga boleh mengambil pendekatan untuk menyediakan pelbagai insentif kewangan bagi majikan yang menggaji atau mengekalkan pekerja berusia dan memberi latihan kepada mereka. Langkah ini merupakan satu perkara yang boleh dilaksanakan memandangkan warga emas pada masa kini masih ramai yang sihat dan boleh menyumbang tenaga dan buah fikiran kepada pembangunan negara. Hal ini juga mungkin boleh membantu dalam perkembangan program keselamatan sosial di negara kita kerana kajian menunjukkan pendapatan persaraan bagi kebanyakan warga emas adalah tidak mencukupi. Ditambah pula dengan keadaan Malaysia yang sedang menghadapi inflasi, sudah pasti program keselamatan sosial sebegini dilihat lebih komprehensif untuk diteruskan dan dibangunkan.
Warga emas berhadapan dengan fasa kehidupan yang paling mencabar kerana mereka mengalami perubahan dari segi fizikal, emosi dan mental. Oleh kerana itu, Islam melarang melakukan perbuatan kasar dengan golongan warga emas dan mereka hendaklah dihormati memandangkan perasaan mereka terusik pada peringkat ini. Islam memuliakan setiap umatnya termasuk warga emas. Oleh itu, Islam menyediakan mekanisme perlindungan kepada warga emas sebagai salah satu cara untuk membantu golongan warga emas meneruskan kehidupan harian di hujung usia mereka. Hal ini kerana umum mengetahui bahawa seseorang yang telah mencapai usia tua, sudah tidak mampu bekerja kerana mempunyai kekurangan dari sudut fizikal dan akal fikiran. Sekiranya mereka tidak dibantu dari segi makanan, minuman, pakaian dan tempat tinggal ini sudah pasti ia akan menjejaskan tahap kualiti hidup dan kesihatan mereka. Oleh itu, penyediaan mekanisme-mekanisme ini adalah untuk memastikan kemaslahatan setiap umatnya terjaga dan kemudaratan dapat dihindarkan.