Dua beradik didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki di Kangkar Pulai, Skudai, September lepas.
Kes penemuan enam rangka manusia
R.Arasan, 32 dan R.Utes, 36, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nabilah Nizam namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Foto: Bernama
Kedua-dua lelaki itu didakwa secara bersama membunuh V.Thamil Selvan, 28, di sebuah rumah tidak bernombor di ladang kelapa sawit di Kangkar Pulai, antara 12.30 tengah malam hingga 4 pagi, 15 Sept 2025.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun serta sebatan hingga 12 kali jika tidak dijatuhi hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Foto: Bernama
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Aishah Latif, manakala Arasan dan Utes diwakili peguam Mohd Hamizi Mohd Yusof dan Mohamad Isa Mohamad Basir.
Artikel lain: Misteri Kehilangan Terbongkar! 6 Rangka Manusia Ditemui Dalam Rumah Terbakar
Mahkamah menetapkan 6 April depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat, toksikologi dan asid deoksiribonukleik (DNA) serta tiada jaminan dibenarkan.

Foto: BH Online / Najmi Nor’Azam
Semalam, Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad mendedahkan penemuan enam rangka manusia termasuk lima sekeluarga yang dipercayai telah meninggal dunia lebih tiga bulan di sebuah rumah yang terbakar di kawasan kebun kelapa sawit di Kangkar Pulai, bulan lepas.
Siasatan mendapati enam mangsa itu terdiri seorang wanita berusia 35 tahun, seorang remaja perempuan 19 tahun, dua kanak-kanak perempuan berusia sembilan dan lima tahun, seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun serta seorang lelaki berusia 28 tahun.

Foto: Harian Metro / Najmi Nor’Azam
Susulan siasatan dan risikan lanjut, polis menahan tiga lelaki dan seorang wanita tempatan berusia lingkungan 19 hingga 35 tahun di sekitar Iskandar Puteri pada 21 Jan lepas dengan dua suspek lelaki dituduh di mahkamah manakala dua lagi suspek dibebaskan dengan jaminan polis untuk dijadikan saksi pendakwaan.
Sumber: Bernama







































