Peguam mewakili ibu kepada Allahyarham Zara Qairina Mahathir mendedahkan bahawa pakaian dan barang peribadi milik remaja itu yang dipakai ketika kejadian masih belum diambil pihak polis untuk tujuan siasatan.
Polis belum mengambil pakaian Zara Qairina
Menurut laporan Sinar Harian, pasukan peguam, Hamid Ismail dan Shahlan Jufri, yang mewakili Noraidah Lamat, 45, berkata perkara itu timbul susulan kenyataan terbaharu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai kertas siasatan yang akan dihantar ke Jabatan Peguam Negara.

Foto: Sinar Harian
Menurut mereka, semua pakaian dan barang peribadi Zara telah diserahkan pihak hospital kepada ibunya pada 16 Julai lalu, hari sama mangsa ditemui di bawah bangunan asrama sekolah agama di Papar.
“Sehingga kini, barang-barang tersebut berada dalam jagaan seorang wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dilantik sebagai wakil tunggal ibu Zara. Namun, sejak 17 Julai hingga hari ini, polis tidak pernah mengambil atau memohon untuk mendapatkan barang-barang berkenaan bagi tujuan siasatan,” katanya.
Artikel lain:Ibu Zara Qairina Buat Laporan Polis, Dakwa Terlihat Kesan Lebam Ketika Mandikan Jenazah
Hamid dan Shahlan turut menyatakan rasa terkejut kerana berdasarkan pengalaman mereka mengendalikan kes jenayah, polis lazimnya akan merampas semua barangan yang dipakai mangsa yang disyaki mati akibat jenayah untuk dianalisis secara forensik.
“Barang-barang tersebut adalah bahan bukti penting bagi menentukan sama ada kematian Zara melibatkan unsur jenayah atau sebaliknya. Kegagalan pihak polis berbuat demikian menimbulkan persoalan sama ada siasatan hanya tertumpu kepada kematian mengejut atau bunuh diri, walhal ibu Zara telah membuat beberapa laporan polis meminta siasatan terhadap kemungkinan unsur jenayah,” ujarnya.
Justeru, mereka berpendapat kertas siasatan yang dihantar ke Jabatan Peguam Negara adalah tidak lengkap.
“Kertas siasatan itu tidak menyeluruh, malah fokusnya amat terhad. Lebih membimbangkan, tiada bedah siasat dilakukan terhadap jenazah Zara sebelum pengebumiannya,” jelasnya.
Dalam masa sama, pasukan peguam merakamkan penghargaan terhadap keprihatinan Perdana Menteri dalam kes tersebut dan berharap beliau dapat menasihati Peguam Negara agar mengembalikan kertas siasatan kepada pihak polis.
“Kami mencadangkan agar bedah siasat dan inkues dijalankan segera bagi menentukan punca sebenar kematian Zara sekiranya wujud unsur jenayah,” tambahnya.

Foto: Sinar Harian
Terdahulu, Zara Qairina, 13, dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sekolahnya pada 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia sehari kemudian di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI)
Kes kematian remaja itu mendapat perhatian meluas termasuk di media sosial selepas dikaitkan dengan dakwaan buli di sekolah berkenaan.
Susulan itu, tanda pagar #JusticeForZara menjadi simbol solidariti masyarakat yang menuntut siasatan telus dan adil.
Sumber: Sinar Harian (Asyikin Asmin)
