Seorang wanita berkongsi pengalaman tidak menyenangkan apabila dimarahi seorang peminta derma selepas menolak permintaan sumbangan itu secara berhemah.
Menurut wanita berkenaan, kejadian berlaku ketika dia sedang menunggu makanan di sebuah kedai makan di Baling sebelum didatangi seorang lelaki berjubah yang memintanya menyumbang derma sambil memberikan penerangan panjang lebar.
“Saya hormati dia, jadi saya senyum dan hanya diam sambil dengar. Akhir sekali saya kata ‘tak apalah, terima kasih’,” katanya.
Bagaimanapun, lelaki tersebut dikatakan terus berang selepas wanita itu menolak untuk menderma.
“Tapi dia terus marah dan kata kalau tak mahu derma, patut beritahu awal-awal,” katanya menerusi perkongsian di TikTok.
Wanita Dedah Dimarahi Peminta Derma
Dalam masa sama, wanita berkenaan turut akui terkejut dengan reaksi peminta derma berkenaan namun menahan diri daripada membalas kerana menghormati suasana di tempat awam.
“Saya senyum saja walaupun rasa tak puas hati. Kita dah minta maaf elok-elok pun masih boleh kena marah,” ujarnya.
Artikel lain: Minat Dunia Motor! Abang Nafi Arwah Adik Minah Rempit, Dedah Suka Sedekah Subuh
Berdasarkan video yang dikongsi, lelaki terbabit dilihat tidak berpuas hati selepas wanita itu menolak untuk memberi derma.
“Kalau tak nak bagi beritahu, saya tak paksa. Cakap ja tiada, minta maaf dan saya boleh pergi. Cakap saja tiada duit,” kata lelaki tersebut.
Sementara itu, pengguna media sosial mendakwa individu berkenaan turut dilihat meminta derma di beberapa kawasan lain sekitar Kedah dengan pendekatan sama yang dianggap kurang menyenangkan.
Sumber: TikTok dayah_sis










































