Warganegara Malaysia yang kerap ulang alik Singapura melebihi lapan kali sebulan ditafsirkan sebagai bekerja di luar negara dan tidak layak menerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
Tak layak terima STR jika ulang alik Singapura lebih 8 kali sebulan
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, STR merupakan bantuan tunai bersasar di bawah inisiatif “kita jaga kita” yang diperkenalkan Kerajaan Malaysia khusus untuk warganegara yang memenuhi kriteria kelayakan, termasuk menetap di dalam negara.
“Pada masa sama, kerajaan bertanggungjawab memastikan keadilan kepada semua rakyat Malaysia termasuk pembayar cukai. Oleh itu, hanya mereka yang benar-benar layak akan menerima STR,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Ahad.

Foto arkib: Bernama
Menurut Chin Tong, bagi memastikan ketepatan penyaluran bantuan, semakan kelayakan STR dibuat melalui integrasi data pelbagai agensi kerajaan termasuk Jabatan Imigresen Malaysia bagi tujuan pengesahan maklumat.
Jelas beliau, pemohon STR yang berstatus kerap keluar masuk Singapura bukan dibatalkan kelayakannya, sebaliknya diklasifikasikan sebagai “Tidak Lulus” di bawah Kod Alasan 31, iaitu pemohon atau pasangan menetap, bekerja atau mengikuti pengajian di luar negara.
“Warganegara Malaysia yang keluar masuk Singapura lapan kali dan ke atas setiap bulan ditafsirkan sebagai bekerja di luar negara, dengan andaian individu tersebut berulang-alik secara mingguan,” ujarnya.
Bagi membezakan antara urusan sementara dan tempoh signifikan berada di luar negara, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) menetapkan bahawa perjalanan antara satu hingga tujuh kali sebulan bagi urusan ulang alik Singapura masih dianggap munasabah seperti rawatan perubatan, kecemasan, tugasan jangka pendek atau hal keluarga.
Artikel lain: 61,116 Rakyat Malaysia Lepas Kewarganegaraan, 93 Peratus Pilih Singapura
Sebaliknya, perjalanan lapan kali atau lebih sebulan dianggap menunjukkan tempoh berada di luar negara yang signifikan dan menjejaskan kelayakan STR.
Namun begitu, Chin Tong menegaskan Kerajaan MADANI kekal terbuka untuk mempertimbangkan rayuan dalam kes-kes tertentu, termasuk melibatkan individu yang perlu kerap keluar masuk Singapura atas keperluan kerja tempatan seperti pemandu syarikat logistik Malaysia.
“Rayuan dibuka sepanjang tahun 2026 dan individu yang terkesan digalakkan mengemukakan permohonan untuk pertimbangan lanjut,” jelasnya lagi.
Tambah beliau, pendekatan ini penting bagi memastikan bantuan STR disalurkan secara adil, tepat sasaran dan benar-benar sampai kepada golongan yang memerlukan.
Sumber: Facebook Liew Chin Tong







































