Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan kompaun terhadap seorang penjawat awam selepas didapati merokok di sebuah premis makanan di Rawang, baru-baru ini.
Tindakan itu diambil susulan video kejadian berkenaan tular di media sosial pada 23 Mac lalu.
Hasil siasatan mendapati individu terbabit merupakan kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Gombak dan telah dikenakan kompaun di bawah Seksyen 16(2) Akta 852 kerana merokok di kawasan larangan.
“Tindakan kompaun telah pun dikeluarkan kepada individu tersebut di bawah Seksyen 16(2) (No. 4: merokok di tempat makan) Akta 852,” menurut kenyataan KKM, hari ini.
Selain kompaun, tindakan tatatertib dalaman juga akan diambil selaras dengan peraturan perkhidmatan awam.
Artikel lain: Tular Anggota Merokok Di Restoran, Siasatan Tatatertib Dijalankan – Polis
KKM dalam masa sama menegaskan premis makanan merupakan antara kawasan larangan merokok yang diwartakan dan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang.
Orang ramai turut digalakkan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu memperkukuh penguatkuasaan serta melindungi kesihatan awam.
Sumber: FB Kementerian Kesihatan Malaysia









































