Kerajaan komited menangani isu hakisan pantai di Terengganu yang semakin membimbangkan dengan meluluskan peruntukan sebanyak RM182.5 juta bagi melaksanakan tiga projek utama di negeri itu, kata Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).
Menterinya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, usaha ini penting bagi memastikan kestabilan pesisir pantai serta mengurangkan impak hakisan terhadap infrastruktur dan komuniti setempat.
Tangani hakisan pantai di Terengganu
“Kami komited untuk memastikan hakisan pantai yang semakin kritikal ini dapat ditangani dengan baik. Langkah-langkah bersepadu yang diambil bukan sahaja melibatkan pembinaan struktur kawalan hakisan tetapi juga kajian menyeluruh untuk memastikan penyelesaian yang mampan,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Foto: FB Fadillah Yusof
Tiga projek utama dalam RMKe-12
Fadillah berkata, di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), terdapat tiga projek utama telah diluluskan.
“Pertama, Projek Pengawalan Hakisan Pantai di Pantai Kuala Nerus dengan kos RM69.91 juta, projek ini bermula pada 24 Julai 2023 dan dijangka siap pada 23 September 2026.
“Setakat ini, kemajuan projek telah mencapai 22.3%, merangkumi pembinaan 16 struktur pemecah ombak dari Telipot ke Sungai Gong Tuan Nit serta kerja-kerja penyuburan pasir pantai sepanjang 2km.
“Kedua, Projek Pengawalan Hakisan Pantai di Geliga, Kemaman dimana masih di peringkat pra-pelaksanaan dan dijangka bermula awal 2027.
“Ketiga, Projek Pengawalan Hakisan Pantai di Kuala Paka, Dungun. Sama seperti projek di Geliga, ia juga dijangka bermula pada awal 2027,” ujarnya yang juga Timbalan Perdana Menteri.
Artikel lain: PETRA Teruskan Jelajah, Skuad Zon Selatan Tinjau Inisiatif Sektor Tenaga Boleh Baharu
Difahamkan, kedua-dua projek di Geliga dan Kuala Paka akan merangkumi pembinaan struktur kawalan hakisan pantai seperti pemecah ombak dan penyuburan pasir pantai bagi memastikan kestabilan jangka panjang.
Pendekatan Bersepadu – Kajian ISMP Sebagai Panduan
Selain pembinaan fizikal, kerajaan turut melaksanakan pendekatan bukan struktur melalui kajian Pelan Pengurusan Pantai Bersepadu (Integrated Shoreline Management Plan, ISMP) yang telah disiapkan pada tahun 2022.
“Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti zon hakisan kritikal serta kesannya terhadap infrastruktur, merangka strategi mitigasi jangka panjang termasuk pemindahan jalan dan perlindungan tambahan dan menyediakan garis panduan kepada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan untuk pembangunan pesisir pantai yang lebih mampan.
“Kajian ISMP yang telah disiapkan pada 2022 memberikan panduan penting dalam menentukan kawasan yang terdedah kepada hakisan serta langkah terbaik yang boleh diambil untuk memastikan keselamatan penduduk dan kestabilan pembangunan pesisir,” katanya lagi.

Foto: Fadillah Yusof
Dana MARRIS untuk baik pulih infrastruktur jalan
Dalam pada itu, kerajaan turut menggariskan peruntukan di bawah Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) boleh digunakan bagi tujuan penyelenggaraan jalan yang rosak akibat hakisan dan bencana alam seperti banjir.
Garis Panduan Pemberian Penyenggaraan Jalan Negeri (GP MARRIS 4.0) yang berkuat kuasa mulai 1 Oktober 2024 membolehkan kerajaan negeri menguruskan penyelenggaraan ini dengan lebih sistematik.
Kerajaan Negeri juga dimaklumkan bahawa surat Kementerian Kewangan bertarikh 9 Mac 2022 mengenai kebenaran menggunakan peruntukan MARRIS bagi membaiki infrastruktur jalan negeri yang rosak akibat banjir masih berkuat kuasa.
Dengan pelaksanaan projek ini, kerajaan berharap hakisan pantai di Terengganu dapat ditangani dengan lebih berkesan bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan kestabilan infrastruktur pesisir pantai dalam jangka panjang.
