Pertemuan Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, dengan Presiden Russia, Vladimir Putin, di Muzium Hermitage, St Petersburg, mencerminkan pengukuhan hubungan persahabatan antara kedua-dua negara.
Menerusi hantaran di Facebook, Sultan Ibrahim disambut mesra oleh Presiden Putin ketika lawatan beliau ke muzium berprestij dunia itu.
Sultan Ibrahim Perkukuh Hubungan Malaysia-Russia
Kenyataan rasmi menyatakan lawatan Seri Paduka Baginda juga menyerlahkan peranan Institusi Diraja Malaysia sebagai pemacu diplomasi negara, khususnya dalam memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Russia.
“Seri Paduka Baginda turut berkenan meluangkan masa dengan diiringi Presiden Putin meninjau sebahagian koleksi bersejarah dan karya seni bertaraf dunia yang dipamerkan di muzium berkenaan.
“Lawatan khas julung kali Seri Paduka Baginda ke Saint Petersburg adalah atas jemputan khas Presiden Putin, sekaligus melambangkan peranan penting Institusi Diraja Malaysia sebagai pemacu diplomasi negara,” kata kenyataan itu.
Artikel lain: Sultan Johor Gesa Beri Anwar Ibrahim Peluang Bukti Kemampuan Sebagai PM
Ditubuhkan pada 1755, Muzium Hermitage merupakan antara muzium seni dan kebudayaan terbesar serta tertua di dunia, menempatkan lebih tiga juta karya seni dan artifak bernilai tinggi.
Pada Ogos tahun lalu, Sultan Ibrahim juga berkenan berangkat ke Moscow bagi mengadakan Lawatan Negara.
Ia sekali gus melakar sejarah sebagai Ketua Negara Malaysia pertama yang berkunjung secara rasmi ke Persekutuan Russia sejak hubungan diplomatik terjalin pada 1967.
Sumber: FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar










































