Perkongsian seorang anggota polis mengenai gelagat sekumpulan kanak-kanak yang datang beraya dipercayai di Balai Polis Pangkor, Perak mencuri perhatian ramai di media sosial.
Menerusi satu video yang dimuat naik di TikTok oleh anggota polis dikenali sebagai Nurul, sekumpulan kanak-kanak dilihat datang ke balai tersebut dengan tujuan untuk beraya, sesuatu yang jarang berlaku.
Menurut Nurul, itu merupakan pengalaman pertama sepanjang perkhidmatannya apabila ada kanak-kanak datang beraya di balai polis.
“Seumur hidup akak, pertama kali orang mai beraya di balai hahahahha. Siap bagi salam kami nak beraya,” tulisnya pada ruangan kapsyen video berkenaan.
Dalam video berdurasi 23 saat itu, kanak-kanak tersebut dilihat berkunjung ke balai polis dengan penuh sopan, malah mereka turut memberi salam kepada anggota polis sebelum dijemput masuk.
Nurul berkata, mereka kemudiannya dipelawa menikmati juadah Hari Raya Aidilfitro yang kebetulan disediakan di balai pada pagi berkenaan.
“Mai dik masuk makan lemang ngan rendang… Nasib la pagi raya ada makan-makan,” katanya.
Lebih mencuit hati, Nurul turut berkongsi sikap kanak-kanak terbabit yang pada mulanya memilih untuk duduk di atas karpet kerana bimbang mengotorkan sofa di balai polis.
“Budak lain tak berani mai balai, depa elok mai beraya… Duk atas karpet takut sofa kotor katanya,” ujarnya lagi.
Perkongsian itu bukan sahaja mengundang pelbagai reaksi mencuit hati daripada netizen, malah ramai yang memuji keberanian serta adab kanak-kanak berkenaan ketika berkunjung ke balai polis.
Ada juga yang menyifatkan situasi itu sebagai gambaran hubungan mesra antara masyarakat dan pihak berkuasa, terutama dalam suasana sambutan Aidilfitri yang penuh dengan semangat kunjung-mengunjung.
Janji dapat duit raya
Anggota pun gembira, ada suasana hari raya
Berani datang beraya kat balai
Sopan je datang balai
Terbukti bahawa semangat Aidilfitri mampu merapatkan jurang antara masyarakat dan pihak berkuasa, sambil menyuntik senyuman di pagi raya.
Sumber: TikTok @nrl_2203






































