Seminar Keselamatan Antarabangsa yang dianjurkan oleh Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) bertujuan untuk memberi peluang dan cabaran dalam mempertingkatkan keselamatan negara.
Menerusi satu kenyataan, seminar yang didahului dengan ucapan Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin itu telah berlangsung di Malaysia International Trade and Exhibition (MITEC), Kuala Kumpur, hari ini.
Hasil kerjasama Maktab Ketahanan Nasional (MKN), Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM) dan Perkhidmatan Pertahanan Asia 2024, “Enhancing National Security through Good Governance and Credible Partnership: Opportunities and Challenges” merupakan topik yang diusulkan dalam seminar berkenaan.
“Program yang diadakan untuk menyentuh strategi Malaysia dalam memperkukuhkan infrastruktur keselamatan negara dan kerjasama antarabangsa ini adalah bersempena Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC) Asia 2024 ,” kata MINDEF.
MINDEF berkata, selain memberi penekanan terhadap peranan penting tadbir urus yang baik serta perkongsian antarabangsa dalam memperkukuhkan daya tahan dan kestabilan negara, seminar ini turut mengetengahkan langkah untuk menangani dinamik landskap keselamatan negara dan global.
“Ia juga mengetengahkan perkongsian antarabangsa dalam memperkukuhkan daya tahan dan kestabilan negara.
“Seminar ini juga merintis usaha semua peringkat kerajaan, sektor swasta dan masyarakat dalam mengurus dan mengurangkan kesan bencana alam seperti banjir yang lazimnya berlaku di Malaysia,” ujarnya.
Malah, MINDEF menjelaskan bahawa landskap keselamatan global yang semakin berkembang, merapatkan tadbir urus yang baik dengan perkongsian yang boleh dipercayai merupakan strategi yang kritikal.
“Peralihan daripada pandangan keselamatan yang berpaksikan kenegaraan kepada pendekatan berorientasikan rakyat menggambarkan cabaran hari ini, di mana faktor dalaman dan luaran secara berterusan membentuk semula ancaman kepada kedaulatan, kepentingan ekonomi dan kesejahteraan rakyat. Adalah penting untuk memberi kesedaran bahawa tiada negara boleh mencapai objektif keselamatannya secara bersendirian,” katanya.
Selain itu, seminar ini turut menitikberatkan hubungan kritikal antara tadbir urus, keselamatan dan perkongsian, serta menjelaskan bagaimana elemen ini secara kolektif menyumbang kepada persekitaran global yang lebih selamat dan stabil.
Foto: The Star
Menteri Pertahanan United Kingdom, Yang Berhormat Lord Timothy Minto, telah menjadi pembentang utama bagi seminar ini diikuti Profesor Ruhanas Harun dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dan Profesor Dr Hideshi Tokuchi, Presiden Research Institute for Peace and Security (RIPS), Jepun.
Antara jemputan yang turut serta dalam seminar ini adalah wakil-wakil kedutaan seperti Panglima-panglima Perkhidmatan ATM, Panglima Angkatan Tentera Negara Brunei, Defence Attache serta penuntut Maktab Ketahanan Nasional, Maktab Pertahanan Angkatan Tentera serta penuntut Maktab Turus Angkatan Tentera.