Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meluahkan kekesalan terhadap sikap segelintir individu yang membuang sampah merata-rata sehingga menjejaskan tahap kebersihan serta imej bandar raya Kuala Lumpur.
Menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook, DBKL memaklumkan kerja-kerja pembersihan di sekitar pusat bandar, khususnya selepas sambutan ambang Krismas lewat malam tadi, telah dilaksanakan segera.
Sambutan Ambang Krismas Dipenuhi Sampah
Menurut kenyataan itu, ia bagi memastikan persekitaran sentiasa bersih, teratur dan selesa untuk semua lapisan masyarakat.
“Walaupun orang ramai meraikan suasana malam perayaan, tanggungjawab menjaga kebersihan tetap perlu diutamakan.
“Elakkan membuang sampah sesuka hati, gunakan tong sampah yang disediakan dan pelihara ruang awam yang kita kongsi bersama,” jelas pihak berkuasa tempatan itu.
Sehubungan itu, DBKL turut menyeru orang ramai agar sentiasa mengutamakan tanggungjawab menjaga kebersihan dengan menggunakan tong sampah yang disediakan serta memelihara ruang awam demi kesejahteraan bersama.
Terdahulu, tular pelbagai video dan hantaran di media sosial yang memaparkan keadaan jalan utama di Bukit Bintang dipenuhi sampah sarap yang dipercayai dibuang orang ramai selepas sambutan ambang Krismas lewat petang semalam.
Tindakan berkenaan sekali gus mencetuskan kritikan netizen terhadap tahap kesedaran sivik segelintir pengunjung.
Sumber: FB Dewan Bandaraya Kuala Lumpur














































