Connect with us

Hi, what are you looking for?

Nasional

RMK13 Perkasa Transformasi Air & Tenaga, Malaysia Sasar Jadi Kuasa Ekonomi Hijau Serantau

Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menjadi platform penting dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih mampan, berdaya tahan dan progresif.

RMK13 perkasa transformasi air & tenaga

Dengan menumpukan kepada agenda peralihan tenaga serta transformasi sektor air, RMK13 membuka lembaran baharu dalam landskap pembangunan negara menjelang 2030.

RMK13

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), yang dipimpin oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri PETRA, Datuk Seri Fadillah Yusof memainkan peranan utama dalam menyelaras pelaksanaan dasar-dasar strategik ini, demi memastikan manfaatnya sampai terus kepada rakyat.

“RMK13 menjadi pemacu utama kepada Malaysia MADANI yang menekankan pembangunan inklusif, mampan dan berdaya tahan. Langkah berani dalam transformasi air dan tenaga meletakkan Malaysia di landasan yang kukuh untuk menjadi peneraju serantau dalam ekonomi hijau dan teknologi masa depan,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Dalam sektor tenaga, RMK13 menyasarkan pembaharuan menyeluruh sistem tenaga negara termasuk pembangunan grid pintar, pemasangan sistem penyimpanan tenaga (BESS) sebanyak 400 megawatt selama empat jam, dan pelaksanaan mekanisme pasaran yang lebih terbuka.

Pembaharuan ini dijangka menarik pelaburan bernilai RM2.5 bilion, selari dengan hasrat negara mengukuhkan kerjasama tenaga rentas sempadan di bawah Asean Power Grid (APG).

Advertisement. Scroll to continue reading.

Selain memperkasakan tenaga boleh baharu menerusi projek solar dan hidro, kerajaan juga komited meneroka tenaga nuklear secara bertanggungjawab di bawah kerangka pembangunan NEPIO. Akses kepada tenaga hijau juga akan diperluas kepada rakyat melalui sistem solar fotovolta berkumpulan dan dasar pembukaan akses pihak ketiga.

RMK13

“Peralihan tenaga bukan sahaja tentang menukar sumber, tetapi satu proses menyusun semula struktur tenaga negara untuk lebih bersih, cekap dan berdaya saing. Kita tidak boleh terus bergantung kepada model lama,” jelas Fadillah menyentuh mengenai keperluan segera mempercepatkan transisi tenaga nasional.

Dalam sektor air pula, RMK13 merangkumi pendekatan menyeluruh merangkumi pelaksanaan projek tebatan banjir bersasar di kawasan berisiko tinggi seperti di Kuching, Sungai Johor, Sungai Pahang, Baling, Sungai Likas dan Sungai Trolak.

Artikel lain: PETRA Anjur MYWATER 2025, Komited Urus Air Negara Secara Mampan & Bersepadu

Teknologi kecerdasan buatan (AI) pula akan diterapkan dalam sistem amaran awal banjir bagi meningkatkan kecekapan ramalan dan kesiapsiagaan.

Sementara itu, kerajaan juga berikrar untuk memperkukuh kualiti pengurusan air melalui pengurangan kadar Air Tidak Terhasil (NRW), galakan penggunaan air pulih guna serta pemerkasaan inovasi teknologi tempatan.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Turut digariskan adalah usaha menyelaras kerjasama antara kerajaan persekutuan, negeri dan sektor swasta bagi menjamin kestabilan bekalan air dalam jangka panjang.

“Transformasi air bukan hanya isu infrastruktur – ia soal kelangsungan hidup, daya tahan komuniti dan keselamatan negara. Malaysia tidak boleh leka dalam menghadapi cabaran perubahan iklim,” ujarnya lagi menekankan keutamaan strategi jangka panjang dalam pengurusan sumber air negara.

Dalam masa yang sama, Fadillah turut menyentuh kepentingan memastikan pembangunan yang adil dan seimbang antara wilayah.

RMK13 memberi penekanan terhadap pelbagai inisiatif pembangunan di Sabah dan Sarawak, termasuk sambungan grid tenaga dari Sarawak ke Semenanjung, pembangunan pelabuhan, hab ekonomi biru serta hab pengeluaran makanan luar bandar yang dijangka merangsang ekonomi desa.

Projek infrastruktur seperti Sarawak-Sabah Link Road, Lebuhraya Trans Borneo dan Lebuhraya Pan Borneo akan dipercepatkan, manakala aspek perancangan spatial akan diperkukuh melalui peluasan pemakaian Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172] ke Sabah dan Sarawak.

Kerajaan juga komited memperkukuh kawalan sempadan dan meningkatkan keselamatan di kawasan utara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Advertisement. Scroll to continue reading.

RMK13, menurut beliau, merupakan komitmen kerajaan untuk bukan sahaja menyediakan asas pembangunan fizikal, tetapi juga membentuk masa depan yang adil, hijau dan inklusif bagi seluruh rakyat Malaysia.

Written By Nor Hidayah

Advertisement

Artikel Menarik Lain

Sosial

Seorang gadis tidak dapat menahan sebak selepas gagal ke peringkat seterusnya dalam uji bakat pencarian Dewi Remaja 2025 yang berlangsung di sebuah hotel di...

Lokal

Bekas Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, Datin Rosnih Nasir menafikan sekeras-kerasnya sebarang dakwaan yang mengaitkan beliau dengan insiden tragik...

Lokal

Seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun ditahan polis selepas dipercayai menumbuk dan ugut guru dalam kejadian di dalam sebuah sekolah menengah di Taman Kajang...

Sukan

Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Balik Pulau mencipta sejarah apabila muncul juara baharu Kejohanan Super Schools Rugby 2025 selepas menewaskan pasukan pilihan, Victoria Institution...

Advertisement

Hakcipta © 2018 Borakdaily.com, Powered by Infinity Media Digital Sdn Bhd