Seorang penghantar makanan berkongsi pengalaman luar biasa yang mengubah rutin hariannya selepas satu video dimuat naik di TikTok mencetuskan perhatian ramai pengguna media sosial.
Menerusi akaun @rafy_axl, pemiliknya yang dikenali sebagai Muhamad Rafiuddin memuat naik rakaman hampir dua minit memaparkan perjalanan hariannya sebagai rider GrabFood.
Pada awal video, dia hanya menunjukkan tugasan biasa menghantar pesanan pelanggan seperti kebiasaan.
Namun, suasana berubah apabila dia tiba di sebuah kawasan perumahan elit di Kuala Lumpur. Dari luar, kediaman yang menjadi lokasi penghantaran kelihatan besar dan mewah, mencerminkan gaya hidup eksklusif penghuninya.
Artikel lain: Tular ‘Rider’ Sujud Atas Jalan, Rupanya Tanggung Derita Ekzema Sejak Lahir
Rafiuddin kemudiannya menyerahkan pesanan makanan kepada seorang pelanggan yang dipanggil Brandon melalui pondok kawalan keselamatan.
Dalam ruangan balasan kepada penonton, dia menjelaskan bahawa pelanggan tersebut merupakan seorang warga asing.
Selepas menyempurnakan penghantaran, Rafiuddin pada awalnya meneruskan perjalanan sebelum dikejutkan apabila pelanggan itu memanggilnya semula.
“Minta maaf, saya ada sedikit tips untuk awak. Boleh tunggu sebentar?” kata Brandon.
Tidak lama kemudian, Brandon kembali dengan beberapa keping wang kertas RM100 yang nilainya mencecah ratusan ringgit, malah hampir RM1,000. Situasi itu nyata mengejutkan Rafiuddin sehingga dia tidak dapat menyembunyikan rasa terkejut.
“Serius ke? Banyaknya,” katanya,
Menurut penjelasan pelanggan tersebut, dia akan berangkat keesokan hari dan tidak akan bercadang menukar semua wang ringgit.
Perkongsian itu dianggap sebagai pengalaman paling bermakna buat Rafiuddin sepanjang bergelar rider GrabFood. Dia turut meluahkan rasa syukur menerusi kapsyen video berkenaan dengan menulis,
“Rezeki memang datang dari arah yang kita tak jangka. Alhamdulillah, ini tips terbesar saya pernah terima.” tulisnya.
Video tersebut dibanjiri komen positif daripada netizen yang menyifatkan kejadian itu sebagai bukti bahawa usaha dan keikhlasan dalam bekerja mampu membuka pintu rezeki yang tidak diduga.
Sumber: TikTok @rafy_axl






































