Salah seorang daripada peserta termuda Misi Kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) iaitu Muhammad Hareez Adzrami atau lebih dikenali sebagai Haroqs menitipkan beberapa pesanan buat rakyat Malaysia pada Himpunan Solidariti Bersama Gaza: Gelombang Malaysia, Palestin Merdeka.
Restu mak ayah paling utama
Menerusi perkongsian di TikTok, Haroqs memberi ucapan sebagai salah seorang delegasi yang selamat pulang ke tanah air dan mengakui cuba memberanikan diri bercakap di hadapan orang ramai demi memperjuangkan hak Palestin.
@haroqscrazy Saya hanyalah seorang manusia biasa, saya beranikan diri bercakap di khalayak ramai dihadapan orang orang hebat kerana hanya satu sebab iaitu tentang bumi G, ini adalah satu janji antara saya dengan Allah. Maafkan saya kalau tersalah cakap saya hanya mencuba menjadi diri saya.
“Saya hanya seorang manusia biasa, saya beranikan diri cakap di khalayak ramai di hadapan orang-orang hebat kerana hanya satu sebab, iaitu tentang Gaza.
“Ini adalah satu janji antara saya dengan Allah, Maafkan saya kalau tersalah cakap, saya hanya mencuba jadi diri saya,” kata Haroqs di Axiata Arena, malam tadi.
Dalam pada itu, Haroqs juga berkongsi pengalaman ketika melihat bumi Palestin dari dalam pesawat dan terkenang akan nasib anak-anak di Gaza yang turut mempunyai cita-cita sama sepertinya untuk terus berjaya.
“Saya faham di fasa usia ini, kita semua punya cita-cita. Tipulah jika saya tidak mempunyai cita-cita, saya juga ingin kenderaan mewah, rumah yang besar, pelajaran yang tinggi.
“Tapi bila saya melihat bumi Gaza dari dalaam pesawat pada ketika itu saya rasa; Ya Allah, kalau saya punya cita-cita dan impian mereka juga punya cita-cita dan impian yang sama seperti saya juga dan kita semua.
“Apa salahnya kita berkorban untuk merealisasikan cita-cita dan impian mereka,” jelasnya.
Berkongsi lanjut, aktivis berusia 25 tahun itu mengakui masih tidak percaya dirinya mampu membuka mata dunia dan mengingatkan restu ibu bapa merupakan perkara penting sebelum melakukan sesuatu.
“Saya tidak pernah sangka, generasi muda seperti saya dapat memberi penuh sokongan buat saudara kita di bumi Gaza.
“Saya cuma nak beritahu dalam apa benda yang kita buat, restu mak ayah itulah yang paling kita utamakan kerana doa mereka adalah doa yang menembusi langit.
“Terima kasih kerana hari ini anda semua merupakan sebahagian daripada perjuangan ini dan kita semua telah membuktikan Malaysia boleh dan merupakan negara terkuat untuk menyuarakan isu Palestin,” tambahnya lagi.
Artikel lain: Aisar Khaled Sambut Kepulangan Sahabat, Haroqs Terima Banyak Hadiah Coklat
Sebelum ini, Haroqs mendapat liputan meluas berkenaan hasratnya untuk memberikan coklat buat anak-anak Gaza namun impian itu tidak tercapai apabila dia ditahan oleh tentera Israel.
Untuk info, Haroqs telah dibebaskan pada Sabtu lalu setelah ditahan oleh rejim Zionis di perairan antarabangsa dan selamat tiba ke tanah air, malam tadi.
Sumber: TikTok Haroqs
