Bil air hanya RM36 sebulan, itulah jumlah yang direkodkan sebuah resort mewah di Sekinchan, sekali gus menimbulkan persoalan besar dalam kalangan pihak berkuasa.
Resort curi air, sambung paip bawah tanah
Menurut laporan Sinar Harian, premis penginapan dengan lebih 40 bilik, kafe dan dewan serbaguna itu sepatutnya membayar sekitar RM3,000 sebulan berdasarkan kadar penggunaan sebenar, terutama ketika musim cuti apabila penghunian mencecah 100 peratus.
Namun di sebalik keindahan pemandangan sawah padi yang menjadi tarikan utama, resort berkenaan rupa-rupanya menikmati bekalan air hasil sambungan paip haram yang disorokkan di bawah tanah.

Foto: Sinar Harian
Aktiviti curi air tersebut terbongkar hasil risikan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bersama Air Selangor selepas menerima aduan tekanan air rendah di kawasan itu.
Pengarah Komunikasi Strategik SPAN, Ts Mohd Fazil Ismail berkata, siasatan dilakukan selepas laporan diterima daripada pengguna dan operator tentang tekanan air yang menurun mendadak. Hasil pemantauan digital mendapati corak aliran air tidak selaras dengan bacaan meter sebenar.
Artikel lain: IWK Bekal 12 Juta Liter Sehari Air Kumbahan Terawat Untuk Pusat Data Di Johor – PETRA
“Apabila penggunaan sebenar jauh lebih tinggi daripada angka di meter, kita tahu ada sesuatu yang tidak kena,” katanya.
Selepas pemantauan selama beberapa minggu, pasukan penguatkuasa menyerbu resort berkenaan dan menemui penyambungan haram sejauh kira-kira 600 meter dari paip utama.
Pemilik mendakwa tidak mengetahui perkara itu kerana baru mengambil alih premis daripada bekas pengusaha sarang burung walet.
Namun siasatan turut mendapati mereka memasang pam air sebelum meter bagi meningkatkan tekanan sekaligus mengganggu bacaan sebenar penggunaan air.
Dalam operasi sama, dua lagi premis turut dikesan curi air iaitu sebuah kolam pancing di Desa Kemuning, Shah Alam dan depoh logistik di Klang.
Kedua-duanya menggunakaan sambungan bawah tanah tanpa meter sah bagi mendapatkan belakan air percuma untuk mencuci kawasan dan kenderaan berat.

Foto: Sinar Harian
Bekalan air ke semua lokasi terlibat telah dipotong serta merta dan pemilik diarahkan menjelaskan tunggakan sebenar sebelum sebaranng sambungan semula dibenarkan.
Mohd Fazil berkata, semua pemilik bakal berdepan tindakan di bawah Seksyen 123 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) pindaan 2025, yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM1 juta atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
Menurutnya, kegiatan curi air seperti itu bukan sekadar merugikan opertator air negeri berjuta ringgit, malah turut menjejaskan tekanan air di kawasan perumahan berdekatan.
Sumber: Sinar Harian (Izwan Rozlin)







































