Perkongsian seorang anggota polis di media sosial mengenai nasib seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang dipercayai menjadi mangsa konflik keluarga susulan perceraian ibu bapanya mengundang perhatian ramai di media sosial.
Menerusi hantaran dimuat naik oleh anggota polis, Muhamad Uzma Zhafran di akaun TikTok miliknya @skyper4158, dia berkongsi kisah menyayat hati remaja itu yang didakwa dihalau keluar dari sebuah hotel di ibu kota oleh bapa kandung bersama ibu tirinya.
Menurut Muhamad Uzma, remaja berkenaan ditinggalkan hanya dengan sebuah pasport dan sehelai sepinggang tanpa telefon bimbit serta wang tunai, sekali gus meletakkan dirinya dalam keadaan tertekan dan terancam.
Difahamkan, remaja terbabit merupakan keturunan Korea dan dibesarkan di Rusia sebelum dibawa ke Bali, Indonesia oleh bapanya yang menetap di sana bersama pasangan baharu.
Malah, bapanya juga dilaporkan telah mendaftarkan persekolahan remaja tersebut di Bali.
Bagaimanapun, remaja itu dipercayai sukar menerima kehadiran ibu tiri dan menunjukkan sikap memberontak sehingga sanggup melarikan diri daripada bapanya.
Ibu kandung remaja tersebut pula kini menetap di Phuket, Thailand.
“Kami telah menghubungi ibu kandung dan memaklumkan perkara ini. Ibu kandung kemudian menghubungi bekas suaminya dan memarahi bekas suami,” katanya menerusi satu hantaran, baru-baru ini.
Susulan itu, bapa remaja terbabit bertindak membuat laporan polis dengan mendakwa anak perempuannya melarikan diri dari hotel.
Jelas Muhamad Uzma, situasi menjadi semakin rumit apabila remaja berkenaan enggan mengikut bapa dan menyatakan keinginan untuk bersama ibu kandungnya di Thailand.
Difahamkan, remaja tersebut terpaksa dibawa semula oleh bapa kandungnya kerana mereka dijadualkan menaiki penerbangan ke Bali pada malam hantaran itu dimuat naik.
“Saya amat memahami perasaan budak ini, betapa tertekan dirinya,” ujarnya sambil mendoakan agar segala urusan remaja berkenaan dipermudahkan.
Sumber: TikTok @skyper4158







































