Proton Holdings Bhd (PROTON) secara rasmi melancarkan model hibrid plug-in pertamanya, Proton e.MAS 7 PHEV, sekali gus menandakan langkah strategik jenama nasional itu dalam memperluaskan penawaran kenderaan tenaga baharu (NEV) di pasaran tempatan.
Model SUV berkenaan ditawarkan pada harga bermula RM109,800, sekali gus mengukuhkan komitmen PROTON ke arah mobiliti lebih hijau dan mampan selari dengan aspirasi kerajaan.
PROTON Lancar e.MAS 7 PHEV
Proton e.MAS 7 PHEV hadir dalam tiga varian, iaitu Prime (RM109,800), Premium (RM123,800) dan Premium Plus (RM129,800), dengan perbezaan utama melibatkan kapasiti bateri, jarak pemanduan elektrik serta keupayaan pengecasan.
Bersempena pelancaran, PROTON turut menawarkan rebat RM4,000 kepada 5,000 pelanggan terawal, menyaksikan harga varian Prime bermula daripada RM105,800, Premium (RM119,800) dan Premium Plus (RM125,800).
Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Bagi varian Prime dan Premium, ia dilengkapi bateri lithium iron phosphate (LFP) berkapasiti 18.4 kWh, membolehkan jarak pemanduan elektrik sehingga 105 kilometer mengikut piawaian NEDC.
Sementara itu, varian Premium Plus ditawarkan dengan bateri lebih besar berkapasiti 29.8 kWh, sekali gus meningkatkan jarak pemanduan elektrik kepada 170 kilometer (NEDC).
Gabungan enjin petrol dan motor elektrik membolehkan Proton e.MAS 7 PHEV mencapai jarak pemanduan keseluruhan sehingga 1,000 kilometer, manakala varian Premium Plus mampu mencecah sehingga 1,065 kilometer.
Dari segi trenkuasa, sistem hibrid plug-in model ini menggabungkan enjin petrol 1.5 liter naturally aspirated (NA) bersama motor elektrik, menghasilkan output maksimum 193 kilowatt (kW) dengan tork 262 Newton meter (Nm).
Kuasa tersebut disalurkan menerusi Dedicated Hybrid Transmission (DHT) yang direka khas bagi meningkatkan kecekapan bahan api serta memberikan pemanduan lebih lancar.
Prestasi pecutan turut menjadi kelebihan apabila SUV ini mampu memecut dari 0 hingga 100 kilometer sejam dalam sekitar 8.0 hingga 8.2 saat, bergantung kepada varian.
Bagi pengecasan, semua varian menyokong pengecasan AC sehingga 6.6 kW, sesuai untuk kegunaan di rumah atau stesen pengecas awam. Varian Premium Plus pula menyokong pengecasan pantas DC sehingga 60 kW, membolehkan bateri dicas daripada 30 peratus ke 80 peratus dalam kira-kira 16 minit.
Dari sudut reka bentuk, Proton e.MAS 7 PHEV tampil dengan gaya SUV moden dan ditawarkan dalam pilihan warna Obsidian Black, Lithium White, Mercury Silver, Galena Grey serta Aquamarine Blue.
Ruang kabin direka untuk kegunaan keluarga dengan susun atur dalaman yang luas, praktikal serta ruang simpanan barangan yang mencukupi.
Aspek teknologi turut dipertingkatkan dengan kehadiran skrin infotainmen bersaiz 15.4 inci, paparan head-up display serta sokongan sistem sambungan pintar.
Artikel lain: Perdana Menteri Umum Proton e.MAS 7 Jadi Kenderaan Rasmi ASEAN 2025
Dalam ucapan perasmian, Johari berkata, pengenalan kenderaan plug-in hibrid elektrik pertama di bawah jenama Malaysia itu adalah langkah yang tepat pada masanya serta bersifat strategik.
“Peningkatan penggunaan kenderaan cekap tenaga seperti PHEV selari dengan komitmen kerajaan untuk menangani perubahan iklim serta mengurangkan pelepasan kenderaan ke arah masa depan yang lebih hijau dan mampan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa pendekatan pelbagai teknologi PROTON yang merangkumi enjin pembakaran dalaman (ICE), kenderaan elektrik (EV) dan PHEV melengkapi usaha kerajaan dalam membangunkan ekosistem automotif yang lebih bersih, progresif dan inklusif.
Sumber: BH Online (Mohd Zaky Zainuddin)













































