Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pembayaran balik PTPTN melalui kaedah potongan gaji secara automatik adalah satu kaedah kaedah praktikal serta tidak membebankan rakyat.
Memetik laporan dari Bernama, Anwar memaklumkan yang kaedah itu antara cadangan dikemukakan Jawatankuasa Menyemak dan Mengkaji Semula Dasar Pendidikan Tinggi Nasional (NRC) dan akan dilaksanakan melalui pemotongan gaji secara automatik menerusi Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Untuk kelestarian jangka panjang
Anwar berkata kadar bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) adalah amat rendah dan kerajaan bimbang dengan kelestarian PTPTN untuk jangka masa panjang.
“Sehingga Mei 2023, jumlah pinjaman yang belum dibayar berjumlah RM66.9 bilion. Jumlah ini sekiranya dibayar, boleh membiayai kira-kira 2.5 juta orang pelajar baharu,” katanya dalam ucapan pada majlis penutup Hari Terbuka Pendidikan Tinggi Negara anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Teks mengenai pembayaran balik PTPTN dibaca Timb. Perdana Menteri
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Fadillah Yusof. Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Tambah beliau lagi, NRC juga mencadangkan untuk memperkenalkan mekanisme baharu pembiayaan, dimana universiti awam (UA) terikat dengan kerajaan menerusi Perjanjian Tahap Perkhidmatan (SLA), untuk menghasilkan pelajar dan penyelidikan yang berkualiti tinggi.
Beliau berkata daripada model geran blok, cadangan yang dikemukakan adalah supaya kerajaan ‘membayar’ kepada institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) untuk perkhidmatan pendidikan, berdasarkan formula pembiayaan berasaskan prestasi tersebut.
“Formula ini harus berdasarkan kebolehpasaran graduan, gaji siswazah, dan kualiti pendidikan. Institusi yang dapat menonjolkan prestasi yang baik, akan diperuntukkan kos yang lebih tinggi bagi setiap pelajar,” katanya.
Sekadar gambar hiasan
Dalam pada itu, NRC juga mencadangkan supaya dilaksanakan kitaran perancangan belanjawan tiga tahun seperti yang dilaksanakan di Hong Kong.
Beliau berkata ia akan dikawal selia oleh Jawatankuasa Geran Universiti (UGC), yang akan mempertimbangkan cadangan yang dikemukakan oleh institusi, menggariskan program dan jumlah sasaran pelajar berdasarkan bidang keperluan negara, manakala pembiayaan disediakan berdasarkan pendaftaran pelajar yang disasarkan.
Anwar berkata NRC juga melihat kepada aspek pengembangan dana endowmen universiti, dengan menghapuskan peraturan perbelanjaan tahunan sebanyak 50 peratus yang dikenakan terhadap endowmen dan dana wakaf. Beliau berkata universiti terkemuka dunia seperti Universiti Harvard dan Institut Teknologi Massachusetts (MIT), mempunyai dana endowmen besar yang membolehkan mereka melabur semula dalam sistem pendidikan, termasuk meningkatkan alat dan bahan pengajaran, mengembangkan penyelidikan dan menyediakan biasiswa.
“Ini akan membolehkan dana endowmen dan wakaf dapat dikembangkan dan seterusnya dilaburkan semula, bagi meningkatkan akses dan standard pendidikan tinggi,” katanya.
Artikel lain: “Insentif Diskaun PTPTN Mungkin Tidak Diteruskan” – KPT
Kredit foto: Bernama
Anwar berkata secara keseluruhan cadangan yang dikemukakan NRC, yang ditubuhkan KPT untuk mereformasikan pendidikan tinggi negara, amat baik dan boleh dibincangkan lanjut dengan pihak Kementerian Kewangan (MOF).
Sumber: Bernama