Tular sebuah video memaparkan seorang pemilik kereta nombor pendaftaran Singapura menutup sebahagian plat bagi mengaburi tindakan mengisi petrol RON95 di sebuah stesen minyak di Johor.
Isi RON95 mengaku rakyat tempatan
Video berdurasi satu minit 30 saat yang dikongsikan di akaun Threads mohd_ilmi itu menunjukkan individu berkenaan dikesan dan ditegur, namun mendakwa mereka rakyat tempatan sebelum cuba meninggalkan lokasi dengan segera.
Mungkin taktik baru warga luar isi RON95
Pemilik video mendakwa ini mungkin taktik baharu warga Singapura untuk kelihatan seperti kenderaan tempatan dengan menutup huruf pertama dan terakhir nombor pendaftaran kenderaan asing.
Siasatan sedang dijalankan
Memetik laporan daripada Malaysia Gazette, Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo menyatakan siasatan sedang dijalankan susulan laporan dibuat pengadu.
“Pengadu sudah membuat aduan dalam sistem dan pasukan sudah pun digerakkan bagi tujuan pemeriksaan dan siasatan. Sekarang ini kita masih menunggu laporan dan hasil siasatan.
“Maklumat-maklumat akan dikemaskini nanti,” katanya.
Artikel lain: Kereta Singapura Isi RON95 Di Johor, KPDN Siasat Selepas Video Tular
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee menjelaskan pihak polis akan mengambil tindakan saman jika didapati nombor pendaftaran kenderaan menyalahi peraturan.
Kejadian itu dipercayai berlaku pada pukul 10.35 malam, namun laporan diterima pada pukul 10.05 pagi.
“Laporan mengenai kejadian itu sudah dirujuk ke KPDN untuk tindakan lanjut kerana membabitkan minyak subsidi. Pihak polis akan mengesan pemilik kenderaan dan jika didapati nombor pendaftaran kenderaan itu menyalahi peraturan ditetapkan, kita akan ambil tindakan saman,” jelasnya.
Sumber: Threads mohd_ilmi, Malaysia Gazette (Zulhisham Isahak)







































