Malaysia memperoleh 2,500 penempatan baharu bagi program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di China pada tahun hadapan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut laporan Bernama, beliau berkata pada tahun lepas sebanyak 5,125 tempat ditawarkan kepada belia Malaysia untuk menjalani latihan TVET di institusi dan industri terkemuka China.
Penempatan baharu TVET di China
“Penambahan ini dibuat setelah kejayaan dalam program terdahulu. Kursus-kursus ini mengambil masa jangka pendek antara satu hingga enam bulan.
“Pada tahun lepas, pada awalnya kita mendapat tawaran 2,500 tempat, namun meningkat kepada 5,125, dan untuk tahun ini kita juga menjangkakan akan ada penambahan hingga 5,000 tempat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Kerjasama Pendidikan Industri-TVET Antarabangsa Malaysia-China kali kedua dan Pameran Pendidikan Vokasional Malaysia-China kali keempat di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah serta Pengerusi Majlis TVET Negara berkata kadar kebolehpasaran graduan TVET yang menjalani latihan di China amat baik dan mencapai 100 peratus.
Syarikat China yang melabur di Malaysia komited untuk mengambil bekerja pelajar Malaysia yang mendapat latihan di China, selain data menunjukkan sebanyak 54.7 peratus pelajar lepasan sekolah menunjukkan minat mendalam untuk memasuki bidang TVET.
Langkah itu sekali gus dapat membantu mengurangkan kebergantungan negara terhadap pekerja asing.
“Saya fikir dalam tempoh paling lewat 15 tahun, insya-Allah kebergantungan (kepada pekerja asing) ini dapat kita minimum,” katanya.
Sementara itu, pada forum dan pameran berkenaan, Ahmad Zahid turut merasmikan Guangqi Institute sebagai hab latihan bersama yang menumpukan kepada bidang semikonduktor dan elektronik lanjutan.
Beliau berkata melalui institut berkenaan, sebanyak 500 peserta terdiri daripada pelajar, tenaga pengajar dan pekerja industri akan menjalani latihan bernilai RM10 juta selama antara satu hingga enam bulan.
Beliau juga menyambut baik pelaksandan Program SIYUAN Skill Advancement and Employment Program (SAEP) yang akan melibatkan 2,500 belia Malaysia berkemahiran mengikuti program ‘Train and Place’ di China bernilai RM12.5 juta.
Latihan berkenaan meliputi tiga sektor strategik, iaitu rel transit, e- dagang dan logistik, serta keselamatan siber, dengan peserta berpeluang menjalani penempatan kerja bersama syarikat China yang beroperasi di Malaysia.
Artikel lain: Malaysia Lakar Sejarah! Miliki Pusat Ujian Cip Termaju Pertama Di Rantau Asia Tenggara
Penempatan baharu TVET di China
Selain itu, Timbalan Perdana Menteri turut melancarkan Malaysia-China TVET Industry-Education Alliance (MC-IEA) yang memperkukuh kerjasama institusi dan industri dua negara melalui pendekatan ‘Train-Intern-Job Placement’. Nilai co-funding peralatan latihan di bawah inisiatif ini mencecah RM10 juta, melibatkan 15 institusi TVET China.
Antara sektor yang terlibat ialah rel transit oleh China Railway State Asset Management Co. Ltd, e-dagang dan logistik oleh SF Express, keselamatan siber oleh Hangzhou Anheng Information Technology Co. Ltd, serta turut disertai oleh Huawei Technologies Co.Ltd, Chery Automobile Co.Ltd, dan Isoftstone Information Technology (Group) Co. Ltd.
Ahmad Zahid turut mengumumkan Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (BELIA MAHIR) sebagai rakan strategik rasmi kepada China Global Professional and Technical Certification Center (CGPTC) diMalaysia.
CGPTC ialah badan pensijilan antarabangsa berpangkalan di China yang berperanan mengiktiraf kelayakan profesional dan teknikal individu serta institusi latihan di seluruh dunia berdasarkan standard industri China yang diiktiraf secara global.
Timbalan Perdana Menteri berkata kerjasama itu akan membolehkan pelaksanaan laluan dwipensijilan dan akreditasi tenaga pengajar Malaysia mengikut standard industri China.
“Sasaran 2026 adalah untuk melahirkan 2,000 tenaga mahir Malaysia yang diiktiraf dengan pensijilan profesional China.
“Sebagai sebahagian daripada kerjasama berterusan, kedua-dua negara turut bersetuju menubuhkan Program Latihan Satelit Malaysia-China melibatkan 10 institusi TVET China dan tiga institusi Malaysia antaranya Kolej TVET Belia Mahir, Kolej Kemahiran Pure Technic dan MCITVET,” katanya.
Program ini memperkenalkan konsep pembelajaran dwikampus, iaitu pelajar menjalani teori di Malaysia dan latihan praktikal di China dalam bidang seperti kenderaan elektrik (EV), mekatronik, kecerdasan buatan (Al) dan e-dagang.
Ahmad Zahid turut menyambut baik hasrat TANG International Education Group bersama institusi TVET
China untuk menganjurkan Pameran TVET China sempena sambutan Hari TVET Negara 2026 di Malaysia, sebagai platform pertukaran pengetahuan, teknologi dan inovasi antara kedua-dua negara.
Beliau turut mempelawa profesor serta tenaga pengajar daripada institusi TVET dan pengajian tinggi untuk turut serta dalam sambutan berkenaan.
“Semoga usaha yang dilakukan dapat memastikan segala inisiatif Malaysia-China dapat diteruskan dan memberi impak besar kepada pembangunan modal insan negara,” katanya.
Sumber: Bernama







































