Ketua Putera MIC Kebangsaan, Dr Shatesh Kumar Sangar, menegaskan bahawa Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) perlu dilaksanakan sebagai langkah pencegahan awal, bukan sekadar intervensi selepas berlakunya kejadian keganasan seksual.
Beliau berkata, pelaksanaan pendidikan ini harus memberi tumpuan kepada usaha membina kesedaran dan kefahaman yang mendalam dalam kalangan pelajar mengenai isu gangguan seksual, rogol, kehamilan remaja serta gejala sosial lain.
“Pendidikan Kesihatan Reproduktif harus lebih daripada sekadar intervensi selepas kejadian. Ia perlu menyediakan pencegahan awal terhadap gangguan seksual, rogol, kehamilan remaja dan gejala tidak sihat lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pendidikan Seksual Harus Jadi Pencegahan
Menurutnya, antara topik yang wajib diterapkan dalam PKRS ialah anatomi dan biologi reproduktif, hubungan interpersonal serta konsep persetujuan (consent), selain pendedahan mengenai identiti jantina dan orientasi seksual.
Beliau turut menegaskan kepentingan mendidik pelajar mengenai akibat undang-undang terhadap jenayah seksual, termasuk hukuman penjara yang bakal dikenakan kepada pesalah.
“Pendidikan ini bukan bertujuan menakutkan kanak-kanak, tetapi membentuk modal insan yang peka, berpengetahuan dan bertanggungjawab,” ujarnya.
Artikel lain: Demi Keselamatan Pelajar, KPM Arah Pengetua Ronda Kawasan Sekolah Setiap Pagi
Beliau turut menyambut baik pengumuman Menteri Pendidikan mengenai lima komponen utama reformasi pendidikan negara, terutamanya usaha memastikan sekolah menjadi premis yang lebih selamat untuk semua pelajar.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan supaya pelaksanaan PKRS tidak dilakukan sekadar memenuhi syarat formal seperti yang berlaku terhadap subjek sivik dan pendidikan jasmani sebelum ini, yang sering digantikan dengan pengajaran subjek teras.
Tegasnya, keberkesanan pendidikan ini memerlukan pelaksanaan yang teliti, konsisten dan berfokus, demi kesejahteraan serta keselamatan pelajar di seluruh negara.
