Suruhanjaya Tenaga (ST) mengingatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan mengutamakan keselamatan elektrik dan gas pada musim banjir.
ST dalam kenyataan media memaklumkan, banjir boleh mengakibatkan pelbagai risiko antaranya tiang elektrik tumbang, talian elektrik terputus dan kerosakan kelengkapan elektrik dan gas.
Foto: Bernama
Susulan itu, ST berkongsi beberapa langkah pengawasan sebelum dan selepas banjir yang boleh diambil bagi memastikan keselamatan elektrik dan gas terutamanya sebelum, semasa dan selepas banjir.
“Sebelum banjir, sekiranya diarah berpindah, pastikan simpan kelengkapan elektrik di tempat yang tinggi dan selamat daripada ditenggelami air banjir dan matikan suis bekalan utama di papan agihan elektrik.
“Selain itu, matikan pepasangan elektrik yang disambung secara berasingan daripada suis
utama seperti solar PV atau pagar elektrik. Kemudian, tutup injap silinder gas atau gas berpaip,” katanya hari ini.
“Semasa banjir, elak melalui kawasan yang mempunyai talian elektrik atau pepasangan elektrik
seperti pencawang dan bilik suis elektrik yang ditenggelami air. Kemudian, elakkan diri daripada memegang dan mengalih tiang atau apa-apa struktur yang menyalurkan elektrik.
“Seterusnya, selepas banjir pula, ST mengingatkan agar memastikan suis utama di papan agihan elektrik dan injap saluran gas berada pada kedudukan ‘OFF’ sebelum kerja pembersihan dimulakan.
“Seterusnya, sebelum ‘ON’ suis utama, pastikan kelengkapan elektrik dalam keadaan baik dan
kering. Malah, orang ramai haruslah sentiasa berwaspada apabila menjalankan aktiviti pembersihan banjir berdekatan dengan talian, struktur pepasangan elektrik dan saluran gas berpaip.
“Akhir sekali, suruhanjaya menegaskan agar orang ramai mengelakkan diri menggunakan kelengkapan elektrik dan gas yang diragui keselamatannya. Sekiranya meragui keselamatan sistem elektrik dan gas berpaip, dapatkan perkhidmatan kontraktor elektrik atau gas yang berdaftar dengan ST,” ujarnya lagi.