Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) menyantuni 3,500 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sempena Minggu Bersama Pencarum: Jelajah Selatan 2024 (MBP 2024).
MBP 2024 yang telah melabuhkan tirai hari ini dihadiri oleh pengunjung dari kalangan anggota ATM dari tiga kem tentera di selatan Malaysia, iaitu Kem Syed Sirajuddin Gemas, Negeri Sembilan, Kem Terendak, Melaka dan Kem Mahkota Kluang, Johor.
Menerusi satu kenyataan, LTAT berkata, program MBP 2024 terus menjadi landasan utama LTAT untuk menyantuni dan meningkatkan keterlibatannya dengan warga ATM.
“Program berlangsung selama tiga hari itu menawarkan pelbagai aktiviti menarik dan platform bual bicara yang menekankan kepada faedah-faedah yang disediakan oleh LTAT.
“Turut dikongsi mengenai pengurusan kewangan yang mampan dan peluncuran Laporan Pencarum LTAT 2023, sebuah inisiatif yang bertujuan untuk memberi kefahaman yang mendalam berhubung peranan LTAT terhadap warga ATM dan pembangunan ekonomi negara,” katanya hari ini.
Dalam pada itu, Laporan Pencarum 2023 yang pertama kali diterbitkan pada tahun ini juga memperlihatkan komitmen LTAT dalam menjaga kebajikan dan kesejahteraan sosio-ekonoi warga ATM.
Laporan tersebut juga mempunyai peranan dalam menyokong pembangunan ekonomi Malaysia, selaras dengan inisiatif Ekonomi MADANI yang diperkenalkan oleh kerajaan.
Pada masa sama, MBP 2024 turut mengetengahkan kepentingan literasi kewangan dalam kalangan warga ATM bagi memberi kesedaran kepada warga tentera.
Ia sekali gus mengajar mereka untuk menguruskan kewangan dengan bijak, lantas memperkukuhkan perlindungan sosial mereka selepas persaraan.
Sementara itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan beliau akan terus mendukung usaha LTAT dalam memastikan simpanan persaraan anggota ATM terus berkembang demi kehidupan persaraan yang selesa dan terjamin.
“Kementerian Pertahanan (MINDEF) komited untuk melindungi kesejahteraan sosio-ekonomi dan perlindungan sosial anggota ATM selepas perkhidmatan mereka.
“Pengorbanan dan dedikasi anggota ATM adalah asas pertahanan negara dan dengan sokongan kolektif, saya yakin Malaysia akan terus aman, makmur dan dihormati di peringkat antarabangsa.
“Saya juga akan terus mendukung usaha LTAT dalam memastikan simpanan persaraan anggota ATM terus berkembang dengan mampan demi kehidupan persaraan yang selesa dan terjamin,” katanya.
Pada program berkenaan, turut disampaikan adalah sumbangan chromebook daripada Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (YLTAT) yang ditaja oleh BHPetrol kepada anak-anak warga ATM yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.
Penyampaian sumbangan yang membabitkan seramai 969 anak-anak warga ATM calon SPM 2024 yang bersekolah di luar kem seluruh negara itu bagi menyokong program hasil kerjasama YLTAT dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) iaitu tuisyen atas talian, e-Perkasa SPM.
Sumbangan kebajikan turut dipanjangkan kepada anggota ATM dan keluarga mereka yang menghidap penyakit kronik dan Orang Kelainan Upaya (OKU), sekali gus mencerminkan keprihatinan MINDEF selain meringankan beban kewangan yang dihadapi oleh keluarga terlibat.