Seorang lelaki R. Ganesalingam, 49, didakwa di Mahkamah Majistret Klang hari ini atas tuduhan membunuh seorang penembak bermotosikal dalam insiden di Kapar yang tular di media sosial baru-baru ini.
Menurut laporan Kosmo! Online, tertuduh yang memakai baju berkolar hijau dan seluar jeans biru lusuh hanya mengangguk faham sewaktu pertuduhan dibacakan melalui jurubahasa di hadapan Majistret A. Khartiyayini.
Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, Ganesalingam didakwa menyebabkan kematian K. Tinesh Kumar, 33, di hadapan simpang masuk Taman Seri Kapar, Batu 12, Jalan Keretapi Lama, Kapar pada pukul 9.46 hingga 9.47 pagi, 5 Mac lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta sekurang-kurangnya 12 sebatan jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Syuhada Rosli memohon tarikh baharu bagi penyerahan laporan forensik, manakala Ganesalingam diwakili peguam Nathiya Kamalanathan, yang mewakili peguam lain, V. Ayasamy.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 22 April depan.
Terdahulu, media melaporkan dua lelaki menunggang motosikal Yamaha Y15 dipercayai menembak seorang pemandu lori di Kampung Perepat, sebelum dikejar oleh majikan mangsa (tertuduh) menggunakan kenderaan pacuan empat roda sehingga ke Jalan Keretapi Lama.
Dalam insiden itu, motosikal terbabit dirempuh selepas salah seorang daripada mereka mengacukan objek menyerupai pistol menyebabkan kedua-duanya terjatuh dan terseret di simpang masuk Taman Seri Kapar.
Semakan rekod menunjukkan lelaki yang meninggal dunia mempunyai 23 rekod jenayah, manakala rakannya yang cedera memiliki 10 rekod jenayah serta dikehendaki di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan.
Tertuduh yang merempuh motosikal itu pula mempunyai rekod berkaitan dadah serta jenayah di bawah Seksyen 302 dan 307 Kanun Keseksaan.
Sumber: Kosmo! Online (Mohd Yunus Yakkub)







































