Seorang lelaki yang dipercayai bertindak ganas dengan memukul dan melanggar kepala isterinya menggunakan motosikal akhirnya diberkas polis selepas video kejadian itu tular di media sosial.
Berjaya dicekup hasil risikan
Memetik laporan daripada Harian Metro, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit memaklumkan suspek berusia 22 tahun itu ditahan kira-kira jam 11 pagi di sebuah rumah di Taman Seri Kemendor, Jasin hasil risikan pihak berkuasa.
“Hasil maklumat dan risikan yang dijalankan polis berjaya mengesan suspek di lokasi itu.
“Tangkapan dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan D8 dan D11, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka,” katanya.
Ada rekod jenayah lampau
Menurut polis, suspek yang bekerja sebagai penghantar barang turut mempunyai empat rekod jenayah lampau termasuk dua kes berkaitan dadah.
“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan serta Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994,” katanya lagi.
Artikel lain: Tular Video Lenyek Kepala Isteri Dengan Motosikal, Lelaki Diburu Polis!
Dalam pada itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pihak polis.
Terdahulu, video kejadian tular memaparkan seorang lelaki bertopi keledar bertindak agresif terhadap seorang wanita sehingga mangsa terbaring.
Insiden itu dipercayai berlaku di hadapan sebuah premis hiburan keluarga di Kota Shahbandar, dan laporan polis dibuat oleh ibu mangsa selepas video tersebut tersebar luas di media sosial.
Sumber: Harian Metro (Farhana Yaacob)







































