Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terus memperkukuh perkhidmatan kesihatan luar bandar dengan pelaksanaan Program Imunisasi Measles-Rubella (MR) dan projek naik taraf fasiliti kesihatan bernilai lebih RM1.6 juta di Sabah.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, program imunisasi MR merupakan langkah penting melindungi kanak-kanak daripada penyakit campak dan rubela, di samping membina imuniti kelompok bagi memutuskan rantaian jangkitan.
“Program imunisasi MR ini adalah langkah penting untuk melindungi anak-anak daripada penyakit campak dan rubela. Matlamat kita jelas, mencapai liputan imunisasi melebihi 95% agar terbina imuniti kelompok yang mampu memutuskan rantaian jangkitan,” katanya ketika meninjau pelaksanaan program itu di Klinik Desa Karamunting bersama Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee.
Beliau berkata, kehadiran pemimpin tempatan seperti Wong mencerminkan komitmen bersama dalam pendekatan whole-of-community bagi memastikan setiap keluarga mendapat maklumat tepat mengenai kepentingan imunisasi.
Selepas lawatan di Klinik Desa Karamunting, Dr Dzulkefly meninjau Hospital Duchess of Kent (HDOK) yang merupakan hospital rujukan utama bagi lima daerah di pantai timur Sabah iaitu Sandakan, Kinabatangan, Beluran, Telupid dan Tongod.
KKM Perkukuh Imunisasi
HDOK yang menyediakan 19 kepakaran dalaman dengan 414 katil operasi kini berdepan beban kerja tinggi. Di bawah Fasa 1 e-Placement, seramai 307 pegawai perubatan tetap akan ditempatkan di seluruh Sabah, termasuk 10 di HDOK.
“Kehadiran tenaga baharu ini akan membantu mengurangkan beban kerja sedia ada dan meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.
![]()
Lawatan itu turut memberi tumpuan kepada pembangunan fasiliti termasuk pembinaan blok baharu, pemindahan sementara wad lama yang berisiko, serta penambahan tangki air berkapasiti besar bagi memastikan kelancaran operasi hospital walaupun berlaku gangguan bekalan air.
Beliau kemudiannya meninjau Hospital Kinabatangan yang menjadi nadi perkhidmatan kesihatan di kawasan tersebut.
Antara cabaran yang dikenal pasti ialah ketiadaan bilik pengasingan tekanan negatif, ruang farmasi dan rehabilitasi terhad, serta keperluan peralatan kritikal seperti ventilator dan baby warmer.
Selain itu, beliau turut merasmikan bangunan baharu Klinik Kesihatan (KK) Ulu Dusun di Sandakan dan meninjau kemajuan pembinaan KK Bukit Garam di Kinabatangan, kedua-duanya di bawah Projek Klinik Daif Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).
Kerja pembaikan KK Ulu Dusun bernilai RM600,000 meliputi struktur bangunan, bumbung, sistem bekalan air, elektrik, pencegahan kebakaran serta infrastruktur sekitar telah siap dan beroperasi.
Artikel lain: KKM Percepat Pelantikan Tetap 4,352 Pegawai Perubatan Mulai Oktober
Manakala, KK Bukit Garam yang dibina semula dengan kos RM1 juta kini sedang dalam pelaksanaan dengan skop kerja merangkumi pembinaan bangunan baharu lengkap dengan kemudahan sokongan.
“Kementerian Kesihatan komited untuk memastikan akses kesihatan yang adil dan saksama untuk semua rakyat, tanpa mengira lokasi.
“Setiap rakyat, sama ada di bandar atau di pedalaman, berhak mendapat fasiliti yang selamat, selesa, dan berkualiti,” katanya.
Sumber: FB Dr Dzulkefly Ahmad
