Malaysia terus mengekalkan kedudukan kukuh di peringkat antarabangsa apabila agensi penarafan kredit terkenal Moody’s Ratings (Moody’s) mengekalkan penarafan kredit berdaulat Malaysia pada A3 dengan tinjauan “Stabil”.
Perkara ini sekaligus mencerminkan usaha berterusan Kerajaan dalam memacu pertumbuhan ekonomi, serta kekal pada landasan dalam pembaharuan fiskal dalam ketidaktentuan yang menstrukturkan semula ekonomi global dan perpecahan geopolitik.
kredit foto: google
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan mengatakan bahawa pengesahan penarafan dari pihak Moody’s ini merupakan satu pengiktirafan ke atas usaha kerajaan Madani dalam memacu perubahan struktur berpandukan hala tuju dasar yang cukup jelas dan komitmen yang tidak berbelah bahagi kepada piawaian tatakelola yang tinggi.
“Kerajaan kekal teguh dalam melaksanakan pembaharuan ekonomi dan merangsang pertumbuhan serantau agar agenda pembaharuan ini dapat dimanfaatkan oleh semua rakyat Malaysia,”katanya.
Dalam tahun ini, Kerajaan MADANI akan memesatkan pembaharuan fiskal dan ekonomi seperti yang digariskan di bawah Belanjawan 2025, di samping memberi keutamaan kepada pelaburan berkualiti untuk mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi serta mempercepatkan pembangunan infrastruktur bersepadu bagi menyokong kepelbagaian ekonomi dan peluang baharu.
“Kerajaan juga akan mengambil kesempatan selaku Pengerusi ASEAN 2025 untuk menerajui blok ekonomi ini ke arah ketertiban ekonomi bersepadu yang sentiasa bekerjasama dan menggalakkan keberhasilan yang saling menguntungkan bagi rantau ini,” tambah beliau.
Menurut Moody’s, Malaysia akan menjadi ekonomi berpenarafan A yang paling pesat berkembang dalam tempoh dua tahun yang akan datang, sambil mempernyatakan prospek pertumbuhan jangka sederhana Malaysia yang memberangsangkan.
Agensi penarafan ini turut menjelaskan bahawa kekuatan struktur kredit negara mengambil kira antaranya kepelbagaian struktur ekonomi, daya saing dan kestabilan harga sebagai faktor, sekaligus menggalakkan perbelanjaan penggunaan, disokong oleh pasaran modal domestik yang kukuh serta sistem kewangan yang sofistikated.
kredit foto: google
Difahamkan, Moody’s juga mengiktiraf sokongan politik yang utuh telah memberi ruang kepada Kerajaan untuk melaksanakan pembaharuan struktur dan institusi yang signifikan termasuk penggubalan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 serta perundangan lain.
menerusi hal ini, Kerajaan dilihat terus komited untuk menambah baik kewangan awam dengan memperkasakan usaha dalam meningkatkan hasil dan rasionalisasi subsidi.
Merujuk kepada anggaran awal KDNK suku keempat tahun 2024 pada 4.8%, Malaysia berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran pertumbuhan di antara 4.8% hingga 5.3%.
Kerajaan optimis bahawa pertumbuhan ekonomi akan kekal teguh pada 2025, dengan unjuran antara 4.5% hingga 5.5%.
Di samping itu, usaha konsolidasi fiskal akan terus menurunkan defisit, dijangka pada 4.3% daripada KDNK pada 2024 kepada 3.8% pada 2025, secara beransur selaras dengan penetapan sasaran fiskal di bawah Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023.