Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menegaskan Sistem Amaran Awal Bencana di Selangor berfungsi dengan baik dan usaha penambahbaikan giat dijalankan bagi memperkukuh keberkesanan sistem sedia ada.
Ketua Pengarah JPS, Mohamad Radzi Abdul Talib berkata, Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) Fasa 2 di Selangor yang melibatkan pemasangan 280 stesen kini di peringkat akhir pembangunan dan dijangka siap sepenuhnya pada 25 Oktober ini.
“JPS telah menganalisis 28 amaran ribut petir daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dari 10 hingga 18 September lalu dan menghasilkan maklumat terperinci mengenai kawasan yang dijangka menerima hujan lebat serta dikongsikan di peringkat negeri.
“Bagi tempoh sama, model ramalan banjir tidak menunjukkan indikasi banjir di Selangor, yang menjelaskan sebab tiada amaran banjir berkaitan dihebahkan secara meluas,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata demikian sebagai maklum balas kepada laporan media bertajuk Apa Jadi Dengan Sistem Amaran Awal Bencana? susulan kenyataan MCA Selangor berhubung keberkesanan sistem itu selepas kejadian banjir pada 10 hingga 15 September.
JPS Perkukuh Sistem Amaran Awal Banjir
Menurut Mohamad Radzi, notifikasi semasa aras air sungai dan hujan disediakan melalui portal Public InfoBanjir yang dikemas kini setiap 15 minit dan boleh diakses orang ramai.
Data sama turut disalurkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana Negara (NDCC).
Artikel lain: Paras Empangan Bukit Merah Kritikal, Bekalan Air Ke Sawah Dicatu Sementara
Tambah beliau model ramalan banjir hidrodinamik bagi lima lembangan sungai utama di Selangor iaitu Sungai Bernam, Sungai Selangor, Sungai Buloh, Sungai Klang dan Sungai Langat telah siap pada 27 Jun lalu.
Selain itu, semua 104 stesen siren di bawah PRAB Fasa 2 termasuk 16 stesen di Gombak dan Hulu Selangor disahkan berfungsi normal sepanjang 1 hingga 18 September.
“JPS sentiasa memastikan semua stesen siren berfungsi pada setiap masa dan penyelenggaraan berkala dilaksanakan agar sistem beroperasi secara optimum,” katanya.
Tegas beliau, JPS akan terus memperkukuh sistem amaran awal bencana dengan kerjasama pelbagai agensi serta terbuka menerima maklum balas konstruktif dalam usaha meningkatkan ketahanan Selangor terhadap bencana alam.
