Kementerian Luar mengesahkan kira-kira 70 jemaah Malaysia yang menginap di Hotel Mira Ajyad, Makkah, jam 5 petang semalam waktu tempatan, selamat dan sudah dikenalpasti.
Hotel di Mekah terbakar
Memetik kenyataan yang dikongsi di media sosial, Wisma Putra memaklumkan semua jemaah adalah di bawah kelolaan agensi pelancongan umrah TH Travel, Zahafiz Travel dan Rayhar Travel.
“Ketiga-tiga agensi tersebut mengesahkan semua jemaah Malaysia di bawah pengurusan mereka berada dalam keadaan selamat dan telah dikenal pasti.
“Dalam pemeriksaan susulan yang dijalankan oleh Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah kira-kira jam 7.20 malam waktu tempatan, beberapa jemaah Malaysia juga dilihat berkumpul dengan selamat di sekitar kawasan hotel,” katanya.
Video kebakaran tular di media sosial
Terdahulu, berita melaporkan Hotel Mira Ajyad yang menjadi pilihan jemaah Asia Tenggara, termasuk Malaysia, terbakar petang semalam.
Kementerian Luar memaklumkan sebaik menerima maklumat mengenai insiden itu, Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah segera berkoordinasi dengan pihak berkuasa Arab Saudi dan agensi pelancongan Malaysia bagi memastikan keselamatan jemaah.
“Berdasarkan maklumat yang diperoleh setakat ini, tiada petunjuk bahawa insiden tersebut berpunca daripada serangan dron atau sebarang unsur sabotaj.
“Atas faktor keselamatan, tetamu tidak dibenarkan kembali ke bilik masing-masing sementara siasatan dan pemeriksaan keselamatan dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan,” katanya.
Artikel lain: Tiga Lelaki Selamat Tiba Di Mekah, Tempuh Lebih 200 Hari Perjalanan Menaiki Kuda
Wisma Putra menambah sekiranya terdapat kelewatan untuk kembali ke hotel, pengurusan hotel bersama agensi pelancongan masing-masing akan mengatur penginapan sementara bagi tetamu yang terjejas.
Kementerian akan terus memantau situasi dan kekal berhubung dengan pihak berkuasa Arab Saudi serta agensi pelancongan Malaysia bagi memastikan keselamatan dan kebajikan jemaah terpelihara.
Jemaah Malaysia dinasihatkan kekal tenang dan mematuhi arahan pihak berkuasa serta agensi pelancongan. Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah di talian +966 126 727 740 atau +966 573 099 589, atau melalui e-mel [email protected].
Sumber: Facebook Wisma Putra







































