“Saya terkial-kial bangun masa mereka datang, saya tak sangka bungkusan itu rupanya cuma sisa makanan,”
Demikian luahan seorang gelandangan, Ram (bukan nama sebenar), 49, yang menjadi mangsa eksperimen sosial tiga remaja hingga tular di media sosial.
Menurut laporan Harian Metro, kejadian yang berlaku beberapa hari lalu di sekitar Jalan Meldrum itu mengejutkan ramai selepas video berdurasi kurang seminit dimuat naik, memaparkan tiga remaja menikmati ayam goreng dari restoran makanan segera sebelum memasukkan tulang ke dalam bungkusan nasi dan menyerahkan kepada seorang lelaki gelandangan.

Foto: NST
Rakaman menunjukkan gelandangan berkenaan kelihatan terkejut sebaik membuka bungkusan, namun masih mengucapkan terima kasih kepada pemberi.
Mengulas insiden itu, Ram berkata dia tidak menyangkan perbuatan remaja tersebut dirakan dan dijadikan tontonan umum.
Artikel lain: Beri Sisa Tulang Ayam Kepada Gelandangan, Tiga Pempengaruh Mohon Maaf Selepas Dikecam
“Saya tak tahu niat sebenar mereka. Tapi saya tak marah, saya cuma terkejut. Waktu itu, mereka juga beri saya satu lagi bungkusan makanan yang berbeza,”ujarnya.
Ram yang berasal dari Perak berkata, selepas kejadian tular itu, beberapa pengunjung kawasan sekitar dan penduduk tempatan datang bertemu dengannya, menyatakan rasa simpati dan menyerahkan makanan selain memohon maaf atas kejadian tersebut.
“Saya anggap mereka seperti adik-adik, saya maafkan mereka. Harap perkara macam ini tak berulang kepada gelandangan lain,” jelasnya.
Menurut Ram, dia sudah lama hidup bergelandangan dan tidak bekerja, namun tidak pernah menimbulkan masalah kepada sesiapa.
Katanya, dia menerima suratan hidupnya dengan reda dan cuba untuk terus bersikap positif walaupun berdepan pelbagai dugaan.
Ram turut memaklumkan bahawa pihak berkuasa sudah mengambil tindakan terhadap remaja terbabit, namun dia tidak mencampuri urusan tersebut.
“Itu antara mereka dan pihak berkuasa. Saya tak ada kuasa untuk halang atau campur tangan. Saya cuma harap perkara ini selesai dengan baik,” tambahnya.
Terdahulu, salah seorang remaja terbabit tampil memohon maaf kepada umum dan mendakwa bahawa rakaman tersebut merupakan eksperimen sosial yang kononnya mendapat persetujuan daripada lelaki gelandangan itu.

Foto: Kosmo!
Bagaimanapun, video tersebut tetap mengundang kecaman ramai yang menganggap tindakan memberi sisa makanan kepada gelandangan sebagai biadab dan tidak sensitif.
Ram yang fasih berbahasa Inggeris berkata, sejak video itu tular, beberapa pihak media dan pempengaruh turut hadir menemu bualnya, namun beliau berharap agar isu ini dapat menjadi pengajaran buat semua.
“Saya rasa mereka masih muda dan ada masa depan panjang. Biarlah pihak berkuasa selesaikan dengan cara yang baik,” katanya.
Sumber: Harian Metro (Mary Victoria Dass)
