Seorang eksekutif operasi bank ditemukan maut dengan tiga kesan tikaman dalam kejadian di Taman Sultan Abdul Halim, Jalan Tanjung Bendahara, di sini pada Isnin.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, wanita berusia 52 tahun itu ditemui terbaring di bilik tidur dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Menurut beliau, kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 5 hingga 8 pagi sebelum disedari anak mangsa.
“Pemeriksaan awal mendapati terdapat tiga kesan tikaman termasuk di dada dan tangan dipercayai akibat senjata tidak dikenal pasti kemungkinan gunting atau pisau.
“Semasa kejadian, mangsa bersama tiga anak berada di rumah berusia antara 10 hingga 18 tahun,” katanya.
Adzli menambah, sekitar jam berkenaan, dipercayai seorang lagi anak mangsa berusia 29 tahun yang tinggal berasingan telah datang ke rumah dan mengetuk pintu.
“Sebaik pintu dibuka oleh salah seorang adiknya, mereka kembali sambung tidur,” jelasnya.
Eksekutif Bank Ditemukan Maut
Bagaimanapun, kejadian hanya disedari anak mangsa apabila ternampak ibu mereka terbujur kaku selepas bangun tidur.
“Ketika itu, abang mereka yang baharu datang ke rumah, didapati telah tiada,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, pemeriksaan badan mangsa mendapati terdapat kesan tikam dan pukul di bahagian kepala.
“Pasukan Forensik dan Unit K9 telah hadir bersama bantu siasatan. Pemeriksaan mendapati terdapat tiga kesan tikaman iaitu di bahagian perut dan atas payudara kiri selain cedera di pergelangan tangan.
“Terdapat kesan luka di bahagian kepala dan muka selain lebam di bahagian bahu kiri dan atas dahi serta luka di tapak tangan kiri,” katanya.
Motif pembunuhan masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 320 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Artikel lain: Suami Isteri Dibunuh? Mayat Ditemui Anak Dalam Keadaan Tragis
Beliau turut berkata, beg tangan mangsa yang mengandungi barang kemas, wang tunai dan telefon bimbit dikesan hilang.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Polis kini giat menjalankan siasatan lanjut dan mengesan suspek terlibat selain meminta penama Amirul Shafiq Shamsul Zahari, 29, anak sulung mangsa, untuk tampil membantu siasatan.
Sumber: Sinar Harian (Siti Zubaidah Zakaraya)











































