Dua anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Melaka dan Negeri Sembilan cedera selepas bot ronda dinaiki mereka dirempuh sebuah bot pancung yang dipercayai membawa Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) berhampiran sempadan perairan Negeri Sembilan, pada Selasa.
Anggota maritim cedera di bahagian hidung dan kaki

Foto: FB Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia
Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Salehuddin Zakaria dalam kenyataan di Facebook rasmi Maritim Malaysia berkata, insiden berlaku kira-kira jam 8 malam selepas Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Lumut mengesan sebuah bot mencurigakan di kawasan Skim Pemisahan Trafik (TSS), dipercayai menuju ke perairan Tanjung Rhu, Sepang.
Artikel lain: Nahas Bot Terbalik, Maritim Malaysia Bantu Selamatkan 30 Warga Indonesia
Menurut beliau, sebuah bot ronda yang ketika itu melaksanakan rondaan Op Patkor Optima telah diatur gerak untuk memintas bot berkenaan.
Namun, bot pancung yang dilengkapi tiga enjin berkuasa tinggi itu bertindak agresif dan merempuh sisi kiri bot operasi sehingga mengalami kerosakan teruk sebelum berjaya meloloskan diri.

Foto: FB Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia
“Dalam kejadian itu, seorang anggota cedera di bahagian hidung manakala seorang lagi cedera di kaki dan tangan akibat hentakan. Kedua-duanya telah dibawa ke Hospital Port Dickson dan kini dalam keadaan stabil,” katanya.
Salehuddin menambah, bot pancung terbabit dipercayai berpatah keluar dari perairan Malaysia selepas gagal melakukan pendaratan.
Operasi pengesanan dan tindakan khas kini giat dijalankan bagi menjejaki suspek serta rangkaian penyeludupan yang terlibat.
Maritim Malaysia menegaskan cubaab penyeludupan manusia melalui laut dipandang serius kerna ia bkan sahaja mengancam keselamatan negara, malah turut membahayakan nyawa PATI serta anggota penguat kuasa.
“Insiden ini membuktikan bahawa tugas anggota maritim berisiko tinggi kerana mereka sentiasa berdepan ancaman di laut, termasuk kemungkinan kehilangan nyawa demi menjalankan amanah negara,” ujarnya.
Sumber: Facebook @Agensi Penguatkuasaan Maritim
