Jika rakyat Malaysia yang mengikuti perkembangan semasa tertanya-tanya sama ada segala kemeriahan sekitar Sidang Kemuncak ASEAN yang baru berakhir itu sekadar satu persembahan, mereka tidaklah tersilap sepenuhnya.
Sidang kemuncak besar memang sinonim dengan kemegahan, penuh dengan protokol dan perbarisan imej. Tanyalah mana-mana penganjur BRICS, G20, atau kota Davos dan New York ketika WEF dan UNGA berlangsung setiap tahun.
Kuala Lumpur bukan sekadar menjadi tuan rumah kepada salah satu Sidang Kemuncak ASEAN paling meriah dalam ingatan terkini; ia melakukannya pada saat yang amat penting, satu pencapaian bukan calang-calang, hatta bagi penganjur paling berpengalaman sekalipun.
Namun jangan silap faham: apa yang berlaku di ruang-ruang KLCC dan hotel-hotel sekitarnya bukan sekadar perarakan, tetapi sebuah “ballet diplomasi moden” kompleks, pantas dan halus.
Ia adalah kemuncak kepada hampir dua tahun penyelarasan, strategi dan ketekunan: rangkaian kejayaan kecil dan kompromi kreatif. Pegawai Malaysia, khususnya mereka yang berada dalam Pasukan Petugas Peringkat Tinggi yang memacu Visi ASEAN 2045 dan Deklarasi Kuala Lumpur, bekerja dalam diam untuk memastikan hasil akhirnya menjadi realiti.
Ya, kompromi tetap berlaku kerana itulah harga konsensus dan seni tadbir urus.
Trump, tarif dan keamanan
Memujuk seorang presiden Amerika yang skeptikal yang hanya pernah hadir sekali ke Sidang Kemuncak ASEAN untuk kembali semula, merupakan kejayaan diplomatik besar yang Malaysia capai dengan ketekunan senyap.
Donald Trump terkenal dengan sifat tidak dapat dijangka dan kecenderungan mencetus polarisasi, namun kedudukan beliau tetap membawa pengaruh besar di rantau ini. Keberadaannya di tanah ASEAN lantang tetapi sarat isi, menjadi pengiktirafan kepada usaha Malaysia dan petanda bahawa ASEAN semakin relevan.
Salah satu pemangkin penting ialah kejayaan memeterai perjanjian damai antara Kemboja dan Thailand, hasil diplomasi berterusan Malaysia, serta turut ditandatangani oleh Trump dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Kedua-dua pemimpin mengakui bukan mudah untuk memujuk dua jiran yang bangga itu mengundurkan diri daripada brinkmanship, namun tetap sepakat bahawa keamanan, walau tidak sempurna adalah satu-satunya jalan ke hadapan. Perjanjian itu mungkin tidak menyelesaikan punca pertikaian, tetapi sekurang-kurangnya mengembalikan ketenangan.

Foto: IZZUDDIN ABD RADZAK/Pejabat Perdana Menteri.
Geopolitik kolaboratif
Kehadiran Brazil dan Afrika Selatan sebagai Tetamu Pengerusi menggambarkan diplomasi Malaysia yang berpandangan jauh dan ingin meluaskan rangkaian rakan global ASEAN.
Ini selaras dengan langkah berani Malaysia sebelum ini, menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang julung kali diadakan. Dalam dunia yang memerlukan hubungan dengan Washington dan Beijing tetapi semakin sarat tekanan, pendekatan antara-rantau menjadi perlindungan terbaik ASEAN.
Ia menunjukkan keyakinan Malaysia bahawa masa depan ASEAN tidak terletak pada pengunduran ke dalam, tetapi pada keterlibatan berprinsip dengan dunia.
Satu lagi pencapaian penting ialah ulang tahun ke-20 Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS), sebuah proses dipacu pemimpin yang juga lahir di Kuala Lumpur. Forum yang diwujudkan untuk dialog strategik dan ekonomi itu pernah dikritik kerana terlalu terskrip dan hilang keberkesanan. Tetapi tidak lagi.
Tahun ini menyaksikan pemulihan fungsi asalnya, dengan Deklarasi Kuala Lumpur tentang Keamanan dan Kestabilan, penyataan bersama pertama dalam tiga tahun yang mencapai konsensus penuh. Sebelum ini, usaha di Jakarta dan Vientiane gagal akibat perseteruan kuasa besar.
Namun untuk jangka panjang, EAS perlu dinilai semula supaya benar-benar relevan. ASEAN tidak boleh melakukannya bersendirian, rakan dialog utama mesti melabur secara jujur untuk memastikan forum ini kekal konstruktif.
Perdagangan dan teknologi: Memperdalam kerjasama
Malaysia menggunakan kerusi Pengerusi ASEAN 2025 untuk mengukuhkan hubungan ekonomi dalaman, agar ASEAN tidak mudah terdedah kepada kejutan tarif dan tekanan geoeconomy.
Ini termasuk menaik taraf rangka kerja sedia ada seperti Protokol Kedua Pindaan Perjanjian Perdagangan Barang ASEAN (ATIGA), yang bukan lagi sekadar tentang pemotongan tarif, tetapi memodenkan peraturan kastam dan menyelesaikan pertikaian supaya urusan perdagangan lebih “cepat, efisien dan murah”.
ASEAN turut menaik taraf Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN–China (ACFTA 3.0), memperluas kerjasama dalam sektor digital dan hijau, menandakan bahawa ASEAN mahu mengekalkan akses pasaran dan rantaian bekalan dengan China walaupun tarif AS semakin ketat.
Dalam masa sama, ASEAN mengumumkan “penyelesaian substantif” rundingan Perjanjian Kerangka Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) yang menyelaras peraturan aliran data, e-dagang dan pembayaran digital, dengan sasaran pemeteraian pada 2026.
Kuala Lumpur turut menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak RCEP pertama sejak perjanjian itu dikuatkuasakan pada 2022, dengan pemimpin bersetuju agar pelaksanaan ditambah baik menjelang semakan 2027.
Namun persoalan kekal: mampukah ASEAN benar-benar meningkatkan perdagangan intra-ASEAN? Perdagangan dalaman masih sekitar 20 peratus, lebih kurang sama seperti dua dekad lalu walaupun tarif hampir sifar. Halangan bukan tarif (NTB) terus membantutkan pertumbuhan, dan penggunaan perjanjian perdagangan yang sedia ada juga rendah.
Walau begitu, langkah terkini memberi sedikit harapan. ATIGA versi baharu secara jelas mensasarkan NTB dan friksi kastam. DEFA pula dijangka memacu penyepaduan digital dan kewangan, manakala Rangka Kerja Rantaian Bekalan Semikonduktor ASEAN (AFISS) boleh membuka aliran pelaburan rentas sempadan yang diperlukan untuk memperkukuh ekosistem teknologi serantau.
Cabaran tetap banyak, tiada penguatkuasaan kukuh, ratifikasi mengambil masa, DEFA belum ditandatangani, AFISS pula masih dalam proses pelaksanaan. Kemunculan Timor-Leste sebagai ahli ke-11 juga menambah jurang kapasiti yang perlu disokong jangka panjang.
Ke hadapan, ASEAN perlu benar-benar menyelaras peraturan, menggalakkan pelaburan tempatan, meningkatkan mobiliti tenaga kerja, dan memperdalam integrasi rantaian bekalan, selaras dengan Pelan Strategik Komuniti Ekonomi ASEAN 2026–2030.
Dalam bidang teknologi, pemimpin rantau ini sepakat mengenai keperluan memperluas inklusiviti digital, merapatkan jurang transformasi digital, dan meningkatkan inovasi teknologi tinggi. Dengan penggunaan kecerdasan buatan yang cepat berkembang, ASEAN perlu bersiap sedia, bukan sekadar mengejar dari belakang.
Kepimpinan dan kedudukan strategik Malaysia
Tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa tahun ini menyaksikan ASEAN benar-benar ditingkatkan, visinya lebih jelas, jalinan rakan diperluas, keyakinannya dipulihkan. Dengan penyertaan Timor-Leste yang dinanti-nantikan, ASEAN kini lengkap sebagai sebuah komuniti Asia Tenggara. Baton kini berpindah kepada Filipina sebagai pengerusi seterusnya dan dari cara Manila bersiap, masa depan ASEAN kelihatan meyakinkan.
Tamatnya rangkaian sidang kemuncak ini menandakan kejayaan kolektif diplomat, agensi dan rakan Malaysia yang bekerja tanpa henti untuk menghasilkan keputusan yang bermakna.
Tidak semua perkara mencapai kejayaan besar, tetapi gambaran keseluruhan amat memberangsangkan. Malaysia berjaya mengembalikan keyakinan rantau ini kepada kekuatan koordinasi senyap dan keteguhan usaha.
Lebih besar daripada itu, ia mencerminkan pembaharuan haluan dasar luar Malaysia sejak 2023 dipacu diplomasi aktif Perdana Menteri dan kejelasan tujuan. Pendekatan beliau menggabungkan prinsip dan pragmatisme, ketegasan dan kesantunan, serta keyakinan bahawa suara Malaysia mesti didengar — bukan sekadar dicatat, apatah lagi diabaikan.
Malaysia membuktikan bahawa negara kecil dan menengah tetap punya ruang untuk bersuara secara berkesan melalui ketegasan moral dan kejelasan haluan. Di rantau yang sering ditarik dan ditolak kuasa besar, Malaysia memilih keterlibatan tanpa tunduk, keyakinan tanpa angkuh, dan kebebasan tanpa mengasingkan diri.
Cabaran seterusnya ialah memastikan momentum ini bertahan selepas sorotan kamera beralih, membina institusi dan kerjasama yang kekal. Bagi ASEAN dan Malaysia, tugasnya kini ialah memastikan rentak diplomasi tidak pudar selepas tirai summit ditutup.
Jika semangat itu terus hidup, pengerusian Malaysia akan dikenang bukan kerana kemeriahannya, tetapi kerana ketenangannya bukan kerana perhiasannya, tetapi kerana tujuannya.







































