Connect with us

Hi, what are you looking for?

Nasional

Deklarasi KL: Malaysia Sebagai Pemacu Agenda Serantau dan Global

Malaysia terus memperkukuh kedudukannya sebagai kuasa diplomasi yang progresif dan berpandangan jauh menerusi Deklarasi Kuala Lumpur (KL).

Menurut Pengarah Program Peningkatan Eksekutif Ghazali Shafie (GSEEP) Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr. Mashitah Mohd Udin, deklarasi ini bukan sahaja memperlihatkan komitmen Malaysia terhadap perpaduan serantau dan pembangunan lestari, malah meletakkan negara ini sebagai pencetus naratif baharu dalam dunia Islam dan ASEAN.

“Malaysia kini dilihat sebagai jambatan antara tradisi dan kemajuan, memacu nilai Islam yang selari dengan arus teknologi serta reformasi pentadbiran,” kata Dr. Mashitah kepada Borak Daily.

Menurut beliau, dokumen ini bukan sekadar simbol diplomatik, tetapi rangka strategik yang memperlihatkan keupayaan Malaysia memimpin secara moral dan struktur dalam kalangan negara membangun.

Selain itu, Deklarasi KL turut menyerlahkan misi Malaysia untuk mendorong transformasi digital serantau yang lebih menyeluruh dan inklusif. Ia mencadangkan pembentukan ekosistem digital merentas sempadan yang berasaskan prinsip tadbir urus yang telus dan beretika.

Advertisement. Scroll to continue reading.
“Transformasi digital bukan sekadar soal infrastruktur atau teknologi, tetapi soal amanah dan prinsip. Tanpa tadbir urus yang kukuh, digitalisasi hanya akan memperluas jurang,” ujarnya.

Cadangan untuk membangunkan ASEAN Digital Governance Charter diyakini akan menyelaraskan dasar digital di kalangan negara anggota, lantas mewujudkan satu entiti digital serantau yang berdaya saing di peringkat global.

Malah, isu keselamatan digital, kecerdasan buatan (AI) dan perubahan iklim menjadi fokus utama deklarasi. ASEAN digesa mengambil pendekatan bersama yang bersifat strategik dan bersepadu.

“Deklarasi ini menekankan bahawa ketahanan serantau perlu dibina sekarang – bukan selepas kita diserang atau terjejas. Kita perlu satu pendekatan kolektif terhadap AI, siber dan iklim,” jelas Dr. Mashitah.

Beliau menyambut baik saranan penubuhan pusat data serantau, standard keselamatan siber seragam, dan pelaburan bersama dalam penyelidikan AI yang beretika. Dalam isu iklim pula, pelaksanaan ASEAN Climate Action Framework diharap mampu memacu inovasi teknologi hijau dengan pembiayaan serantau yang mampan.

Sementara itu, deklarasi ini bukan sahaja untuk ASEAN, malah berfungsi sebagai suara kolektif Global South. Malaysia menggunakan dokumen ini untuk memperkukuh pendiriannya dalam forum antarabangsa seperti NAM, OIC dan G77.

“Malaysia tidak lagi menunggu dasar global ditentukan oleh pihak lain. Kita kini berada dalam posisi untuk membentuk dasar, bukan hanya menerima,” katanya.

Strategi Malaysia menonjolkan naratif pembangunan yang adil, saksama dan inklusif turut menunjukkan keupayaan negara dalam menggunakan saluran diplomasi pelbagai hala secara efektif.

Pada masa sama, Deklarasi KL juga memperkukuh prinsip kedaulatan dan autonomi ASEAN tanpa memperlihatkan blok ini sebagai pasif atau mengundur diri dari pentas antarabangsa.

Advertisement. Scroll to continue reading.
“ASEAN tidak perlu bersikap konfrontasi untuk mempertahankan autonomi. Yang penting adalah membina kekuatan dalaman dan rundingan bermaruah,” kongsi Dr. Mashitah.

Beliau menekankan bahawa pengukuhan daya tahan ekonomi dan digital, bersama pelaburan intra-ASEAN adalah cara terbaik untuk menolak campur tangan asing secara berkesan dan bermatlamat.

Justeru, bagi memastikan deklarasi ini tidak menjadi sekadar kertas dasar, pelaksanaan yang terancang dan berfasa amat penting.

“Deklarasi ini perlu pelan tindakan yang jelas – siapa buat apa, bila, dan bagaimana kita ukur hasilnya,” tegas beliau.

Antara cadangan penambahbaikan termasuk pelaksanaan indikator prestasi utama (KPI), penglibatan sektor swasta dan masyarakat sivil, serta penggunaan dashboard pemantauan digital untuk ketelusan pelaksanaan. Pemantauan bebas oleh badan pemikir serantau turut disarankan bagi menjamin integriti dan impak dasar.

Dr. Mashitah menyifatkan Deklarasi KL sebagai peluang unik untuk Malaysia mencorak legasi serantau dan global dalam kerangka dunia baharu pasca-pandemik dan era digital.

“Jika kita laksanakannya dengan konsisten dan penuh visi, deklarasi ini akan dikenang sebagai pencetus perubahan sebenar dalam sejarah ASEAN dan dunia Islam,” ujarnya sebgai penutup.

Written By Nor Hidayah

Advertisement

Artikel Menarik Lain

Sosial

Kehilangan anak kandung menjadi antara ujian paling berat dalam hidup seseorang, khususnya bagi ibu bapa yang terpaksa berdepan dengan realiti kehilangan zuriat yang pernah...

Politik

Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengesahkan pembelian sebanyak 15 buah kereta Toyota Camry 2.5V (AT) (CBU) bagi tujuan kegunaan rasmi pentadbiran negeri dengan jumlah peruntukan...

Sosial

Keluarga pengantin ‘mat saleh’ mencuri tumpuan apabila telah hadir ke majlis perkahwinan di Malaysia dengan lengkap berpakaian tradisional sehingga menerima pujian. Keluarga pengantin masing-masing...

Sosial

Sejak semalam, tular di media sosial beberapa hantaran di media sosial mesej perbualan tak senonoh tersebar antara seorang guru berstatus isteri dengan lelaki yang...

Advertisement

Hakcipta © 2018 Borakdaily.com, Powered by Infinity Media Digital Sdn Bhd