Penyebaran Child Sexual Abuse Material (CSAM) di platform digital kini bukan sahaja semakin tersembunyi, malah semakin berani, menurut penganalisis jenayah Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim.
Beliau menjelaskan, pelaku kini menggunakan pelbagai teknologi canggih termasuk platform bersifat penyulitan hujung-ke-hujung (E2E) dan kecerdasan buatan (AI) untuk menghasilkan imej palsu yang meniru mangsa sebenar.
“Trend sekarang ini bukan sekadar tersembunyi, tapi juga tersusun dan licik. Ada yang menggunakan kod khas di platform terbuka untuk elak dikesan, dan penggunaan AI menjadikan pemalsuan imej lebih realistik,” katanya.
Selain itu, pelaku CSAM sering menggunakan akaun sementara yang dibuang selepas beberapa jam digunakan, menyertai kumpulan tertutup berasaskan jemputan, dan beroperasi di dark web dengan perlindungan VPN.

Foto: Majoriti
Fail sering dikongsi dalam bentuk arkib bersandi kata laluan, sementara cloud storage digunakan berpindah-pindah untuk mengelak dikesan.
“Mereka memang kreatif dalam cara elak pengesanan. Ini cabaran besar bagi pihak berkuasa,” ujarnya.
Malah, Shahul Hamid menyifatkan rampasan lebih 880,000 bahan dalam Op PEDO 2.0 menggambarkan skala jenayah yang semakin besar dan sistematik.
“Ini bukan aktiviti terpencil. Jumlah itu menunjukkan wujud permintaan yang tinggi, termasuk rangkaian antarabangsa. Sindiket mampu menyimpan dan menguruskan fail bersaiz besar, dan ia amat berbahaya kerana kelompongan keselamatan digital masih wujud dalam kalangan ibu bapa dan remaja,” jelasnya.

Foto: Janaan AI
Sementara itu, beliau juga menekankan kerentanan kanak-kanak bawah 16 tahun yang mudah dipengaruhi.
“Mereka lebih percaya, mudah dipujuk, dan kurang kemahiran menilai risiko digital. Tanpa pengawasan ibu bapa, ruang seperti DM, gaming, livestream dan chat room membuka peluang luas untuk grooming. Pelaku memanipulasi emosi, hadiah maya dan ugutan seksual,” kata beliau.
Walaupun penetapan umur minimum 16 tahun bagi media sosial berpotensi mengurangkan risiko, beliau menegaskan ia masih tidak mencukupi tanpa mekanisme verifikasi identiti dan pengawasan ibu bapa.
“Polisi umur sahaja tidak cukup. Ibu bapa perlu tahu bagaimana anak-anak menggunakan platform digital dan platform itu sendiri mesti ada sistem keselamatan yang kukuh,” ujar Shahul Hamid.
Dalam usaha memerangi CSAM, beliau menegaskan hanya platform besar seperti Google, Meta dan TikTok mempunyai teknologi hash-matching yang efektif, manakala platform kecil masih kurang berkemampuan.
“Platform baru atau kecil perlu tambah sistem keselamatan, dan laporan pengesanan CSAM harus lebih telus. Kita perlukan gabungan AI, moderasi manusia, laporan berkala dan ciri keselamatan kanak-kanak seperti amaran automatik serta butang kecemasan,” tegasnya.
Tambahnya, perlindungan kanak-kanak dalam talian memerlukan kerjasama semua pihak seperti kerajaan, polis, ibu bapa dan platform media sosial yang perlu berganding bahu bagi mengurangkan risiko kanak-kanak dieksploitasi di ruang digital.







































