Bekas pemain Al Nassr, Shaye Sharahili, mendedahkan satu sisi luar biasa mengenai kapten pasukan itu, Cristiano Ronaldo, sepanjang beraksi di Arab Saudi yang nyata menonjolkan sifat ingin tahu dan penghormatan tinggi terhadap budaya tempatan.
Bercakap menerusi program audio siar Thmanyah Sports, Sharahili berkongsi bahawa bintang bola sepak Portugal tersebut telah memilih untuk turut berpuasa pada bulan Ramadan tahun lalu, meskipun beliau bukan seorang Muslim.
Cristiano Ronaldo Turut Berpuasa
“Pada tahun lepas, Cristiano Ronaldo cuba berpuasa bersama pemain Muslim Al Nassr yang lain ketika bulan Ramadan.
“Beliau berpuasa selama dua hari untuk merasai sendiri pengalaman dan apa yang dilalui oleh umat Islam ketika berpuasa,” kata Sharahili.
Kisah menarik itu dikongsikan susulan umat Islam di seluruh dunia yang baru sahaja menyambut ketibaan bulan Ramadan.
Artikel lain: Elak Prestasi Terjejas, Barcelona Sediakan Diet Khas Sepanjang Ramadan Buat Lamine Yamal
Keputusan Ronaldo untuk turut serta berpuasa walaupun hanya untuk tempoh singkat disifatkan oleh rakan sepasukan sebagai satu tanda hormat dan sifat keterbukaan yang tinggi.
Sumber: Sinar Harian










































