Bekas Panglima Tentera Darat, Tan Sri Mohammad Hafizuddeain Jantan, hari ini menafikan dakwaan memakai jam tangan mewah berjenama Patek Philippe yang didakwa bernilai ratusan ribu ringgit.
Peguamnya, Aizul Borhan Anuar, berkata jam berkenaan sebenarnya keluaran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Bukan Jam Patek Philippe!
Menerusi sidang media di luar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Hafizuddeain menangkis tuduhan aktivis politik, Chegubard.
“Contoh kenyataan yang dibuat oleh Chegubard memang tidak betul. Semasa hadir ke mahkamah, Tan Sri memakai jam tanpa jenama tertulis ‘Chief Of Army’.
“Dalam gambar ini senang dimanipulasikan dan menyebabkan orang bercakap tidak tentu hala. Saya sendiri melihat jam Tan Sri pada hari pertuduhan dan sahkan itu bukan jenama Patek Philippe,” kata Aizul.
Menurut Aizul, Mohammad Hafizuddeain telah membuat laporan polis berhubung dakwaan tersebut dan pendedahan butiran peribadinya termasuk akaun bank yang didedahkan Chegubard atau Badrul Hisham Shaharin.
Tambah beliau, anak guamnya sedang mempertimbangkan tindakan sivil susulan fitnah berkenaan jam mewah dan pendedahan dokumen sulit.
“Sama ada kami akan mengambil tindakan sivil atau sebaliknya, saya tidak tahu lagi sebab Tan Sri sedang mempertimbangkannya sebab perkara ini tidak sepatutnya berlaku.
“Sesiapa boleh buat laporan polis dan pihak berkuasa akan siasat, tapi orang biasa mendapatkan dokumen ini adalah salah di sisi undang-undang,” kata Aizul.
Selain laporan polis, Mohammad Hafizuddeain turut diminta memberi keterangan oleh pihak berkuasa.
Terdahulu, tular di media sosial gambar bekas Panglima Tentera Darat itu memakai jam mewah yang menimbulkan spekulasi warganet mengenai kemewahan penjawat awam.
Artikel lain: Isteri Bekas PTD Didakwa Terima Wang Hasil Aktiviti Haram
Mohammad Hafizuddeain sebelum ini, pada 22 Januari lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan menerima hasil aktiviti haram berjumlah RM2.12 juta antara 2024 hingga tahun lalu.
Pada 23 Januari, beliau berdepan dua lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM145,000.
Sumber: Malaysia Gazette (Shawaliah Hadir)










































