Seorang bapa berkongsi detik cemas apabila anak perempuannya dikenali sebagai Raisha Falisha hampir menjadi mangsa culik dalam satu kejadian yang berlaku di Taman Bakawali, Bukit Sentosa 3, Rawang, pada Khamis lalu.
Anak hampir diculik
Menurut lelaki berkenaan, kejadian itu berlaku kira-kira jam 6.50 petang ketika tiga orang anaknya berjalan kaki menuju ke pasar malam yang terletak sekitar 500 meter dari kediaman mereka. Kebiasaannya, dia tidak membenarkan anak-anak keluar tanpa pengawasan, namun terpaksa berbuat demikian pada hari kejadian kerana dia dan isterinya kurang sihat.
Katanya, kejadian berlaku secara tiba-tiba apabila seorang lelaki dipercayai penduduk di kawasan tersebut mengejar anak perempuannya sebelum menarik mangsa masuk ke dalam rumahnya.
“Bila adik dah kena tarik, abang (eqii) pun terus kejar dan cuba nak lepaskan adik (Raisha) dia dari budak sial ni. Adik dah kena tarik sampai nak di bawa kat tingkat atas,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Situasi bertukar ganas apabila suspek bertindak agresif selepas abang mangsa menjerit meminta pertolongan. Suspek dilaporkan memijak, menendang serta memukul kepala mangsa berulang kali sebelum bertindak mencekik kanak-kanak berkenaan.
“Bila abang menjerit minta tolong lelaki ni mula mengamuk. Sial ni pijak, sepak, tendang kepala adik berkali-kali dan sampai akhir sekali dia cekik pula adik,” jelasnya.
Bagaimanapun, mangsa berjaya diselamatkan hasil tindakan pantas jiran dan orang awam yang menyedari kekecohan tersebut.
“Sekiranya bantuan tiba lewat, saya tidak dapat bayangkan apa yang mungkin berlaku kepada anak saya. Alhamdulillah, kami sangat bersyukur atas keprihatinan jiran-jiran dan orang awam,” luahnya.
Tambahnya lagi, ketiga-tiga anaknya kini masih mengalami trauma susulan kejadian berkenaan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan ibu bapa agar sentiasa berhati-hati dan tidak membiarkan anak-anak berjalan sendirian tanpa pengawasan walaupun di kawasan berhampiran rumah.
“Kejadian ini membuktikan bahawa keselamatan tidak boleh dipandang ringan. Pantau pergerakan anak-anak dan lindungi keluarga sebaik mungkin,” pintanya
Artikel lain: Larikan Dua Kanak-kanak Perempuan, Lelaki Dipenjara Dua Tahun
Sehubungan itu, dia turut mengingatkan masyarakat agar lebih peka terhadap pengaruh negatif, khususnya penyalahgunaan dadah, yang disifatkan sebagai antara punca berlakunya jenayah.
Sumber: Facebook Nett Adnan







































