Kementerian Pengangkutan (MOT) mengumumkan orang awam boleh membuat perkongsian Lesen Kenderaan Motor Digital (e-LKM) atau digital road tax dengan menggunakan fungsi baharu iaitu ‘Kongsi LKM’ di aplikasi MyJPJ, bermula hari ini.
Kongsi e-LKM melalui aplikasi MyJPJ
Menterinya, Anthony Loke berkata, fungsi baharu yang diperkenalkan itu membolehkan pemilik kenderaan berkongsi e-LKM kepada ahli keluarga, rakan-rakan atau individu lain yang dibenarkan oleh pemilik kenderaan.
“Pemilik hanya perlu klik nombor plat kenderaan dan seterusnya klik butang ‘Kongsi LKM’ untuk membuat perkongsian e-LKM kepada individu lain.
“Fungsi ini mempunyai tempoh had masa perkongsian yang boleh ditetapkan oleh pemilik kenderaan dalam tempoh 24 jam,”maklumnya menerusi kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, fungsi baharu dalam aplikasi MyJPJ berkenaan dapat menyelesaikan persoalan apabila pengguna e-LKM memandu kenderaan bukan miliknya atau ahli keluarga.
“Sebagai contohnya, Encik Ahmad berhasrat menggunakan kenderaan milik ayahnya dalam tempoh satu (1) minggu, sebelum menggunakan kenderaan tersebut, ayahnya boleh membuat perkongsian e-LKM kepada anaknya melalui fungsi ‘Kongsi LKM’ di aplikasi MyJPJ,”jelasnya.
Aplikasi MyJPJ tambah fungsi, mudahkan orang ramai
Katanya lagi, pertambahan fungsi baharu berkenaan akan memudahkan orang awam memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) secara digital selain menjimatkan masa dan kos serta dapat mengurangkan kesesakan urus niaga secara fizikal di kaunter-kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Orang ramai juga boleh memperbaharui cukai jalan kenderaan LKM atau dan LMM, menerusi aplikasi MyJPJ bermula Februari ini.
Artikel lain: Ramai Sangat ‘Download’, Aplikasi MyJPJ Tergendala Sejak Semalam
Katanya, sebelum ini orang awam dibenarkan untuk mencetak e-LKM berkenaan bagaimanapun pelbagai persoalan timbul justeru, penambahbaikan dilaksanakan bagi memudahkan pengguna.
Menariknya, mereka yang memilih e-LMM semasa pembaharuan lesen akan menikmati rebat sebanyak RM5 dan boleh dinikmati sepanjang tahun 2024, iaitu bermula 1 Februari sehingga 31 Disember 2024.
“Inisiatif ini terpakai untuk mereka yang memilih e-LMM semasa pembaharuan sama ada melalui kaunter JPJ, portal mySIKAP, aplikasi MyJPJ atau rakan niaga JPJ (Pejabat Pos Malaysia dan MyEG Services Berhad).
“Ia hanyalah untuk warganegara Malaysia sahaja dan tidak terpakai kepada warganegara asing atau mana-mana pemegang pas, permit jangka masa panjang, Kad MyKAS atau Kad MyPR,”jelasnya lagi.
Dalam pada itu, Anthony berkata, berdasarkan dapatan kajian dan analisa statistik sepanjang 2023, JPJ mendapati bilangan pemandu dan pemilik yang memilih digitalisasi semakin meningkat.
Bagaimanapun, bagi pemandu dan pemilik kenderaan yang masih belum bersedia sepanjang tempoh interim pendigitalan tahun 2024, mereka masih boleh memilih LKM dan LMM fizikal.
“Bagi tujuan penyesuaian dalam tempoh interim, JPJ Malaysia akan mengeluarkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) fizikal berbentuk baharu dan diseragamkan.
“Sebelum ini LKM fizikal merupakan pelekat disk LKM dan LMM fizikal berbentuk kad plastik. Selepas ini pengeluaran LKM dan slip LMM fizikal adalah dalam bentuk kertas keselamatan sahaja,”tambahnya.
LKM yang baharu ini tidak perlu dilekatkan atau dipamerkan pada cermin kenderaan sepertimana keperluan Seksyen 20(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 sebelum ini. Sebaliknya ianya disimpan mengikut kesesuaian orang awam.
Slip LKM ini adalah tidak wajib dan bertujuan untuk memberi masa kepada mereka yang masih perlu menyesuaikan diri dengan sistem digital.
Anthony mewakili kerajaan berharap inisiatif yang diumumkan pada hari ini adalah usaha MOT dan JPJ untuk mempermudahkan urusan pemilik LKM dan LMM seterusnya menyokong ke arah perkhidmatan pendigitalan yang terbaik kepada rakyat.