Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) berpangkat koperal ditahan bagi membantu siasatan kes tembakan terhadap Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam bulan lalu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah, berkata anggota berusia lingkungan 30-an itu yang bertugas di bahagian perisikan sempadan ditahan pada 5 Mac lalu oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.
Suspek kemudian direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.
“Anggota ini sudah dua tahun bertugas di sempadan, dia adalah perisik. Kita tahan dia bagi membantu siasatan kes tembakan terhadap Komander AKPS berkenaan.
“Ujian air kencing juga menunjukkan dia positif dadah jenis ketamin, tetapi kita tidak tahan dia kerana kesalahan itu, sebaliknya untuk membantu siasatan kes ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, hari ini.
Anggota Perisikan PGA Ditahan
Adzli berkata, siasatan awal mendapati anggota terbabit mempunyai hubungan rapat dengan ahli sindiket yang disyaki terlibat dalam insiden berkenaan.
Anggota itu dipercayai berada di lokasi kejadian bersama ahli sindiket kira-kira empat hingga lima jam sebelum tembakan dilepaskan.
“Maklumat yang diperoleh menunjukkan dia berkawan rapat dengan ahli sindiket dan dipercayai pernah bersama-sama menghisap dadah.
“Apabila ada maklumat seperti ini, kita tidak akan berkompromi dan perlu menahannya untuk siasatan,” katanya.
Suspek bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis selepas tamat tempoh reman.
Polis akan mendapatkan perintah bon jaminan mengikut Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah bagi memastikan suspek terus memberi kerjasama sepanjang siasatan.
“Siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti kaitan anggota berkenaan dengan sindiket yang disyaki terlibat dalam insiden tembakan itu.
“Kes ini sangat serius kerana membabitkan tembakan terhadap anggota penguat kuasa, jadi siasatan akan dijalankan secara menyeluruh tanpa mengira sesiapa,” tambahnya.
Polis juga akan meminta pegawai pemerintah anggota berkenaan untuk menilai sama ada perlu menahan kerja atau sebaliknya, bagi mengelakkan kebocoran maklumat atau gangguan terhadap siasatan.
“Suspek antara 11 individu yang ditahan, dan kita merayu kepada orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini supaya menghubungi polis dan boleh maklum kepada saya sendiri secara rahsia,” katanya.
Artikel lain: Suspek Disyaki Tembak Kenderaan Komander AKPS Ditahan
Dalam kejadian jam 5.40 pagi, 25 Februari lalu, Proton X70 dinaiki Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, dipercayai ditembak dua das oleh suspek tidak dikenali.
Mangsa terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana melepaskan tembakan dengan niat menyebabkan kematian atau kecederaan.
Sumber: Harian Metro (Noorazura Abdul Rahman)










































