Mahkamah Sesyen di sini memerintahkan Datuk Bandar Kuala Lumpur membayar ganti rugi berjumlah RM824,180 kepada sepasang suami isteri selepas anak lelaki mereka maut dihempap pokok tumbang di pembahagi jalan awam yang berada di bawah selenggaraan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Effandi Nazila Abdullah selepas membenarkan tuntutan yang difailkan oleh Gooi Ling Sim, 61, dan Phun Kok Hoi, 63, selaku tanggungan mendiang Phun Mun Lap, 30, terhadap Datuk Bandar Kuala Lumpur selaku defendan.
Mahkamah mengarahkan defendan membayar RM26,180 bagi kos pengebumian, RM768,000 sebagai ganti rugi kehilangan tanggungan, dan RM30,000 bagi ganti rugi kedukacitaan.
“Pokok yang tumbang berada di bawah selenggaraan DBKL, oleh itu tanggungjawab DBKL adalah jelas dan kukuh.
“Pihak defendan juga mengaku pokok yang telah tumbang terlalu besar dan tidak diselenggara sebagaimana sepatutnya,” kata Hakim Effandi Nazila.
Dalam penghakiman bertarikh 9 Mac 2026, mahkamah mendapati DBKL gagal mengemukakan sebarang bukti dokumentari yang menunjukkan kerja penyelenggaraan atau pemantauan terhadap pokok berkenaan.
Mahkamah turut menegaskan bahawa pihak berkuasa gagal melaksanakan tanggungjawab statutori dan berhati-hati dalam memastikan pokok di pembahagi jalan sentiasa selamat bagi pengguna jalan raya.
Artikel lain: PM Arahkan DBKL Tanam Semula 100 Pokok Untuk Setiap Satu Yang Ditebang
Mangsa yang ketika itu menunggang motosikal ke tempat kerja di Jalan Kuching pada 22 Mac 2023 mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia dua hari kemudian di Hospital Selayang.
Kes itu berlangsung selama dua hari pada September 2025, dengan empat saksi plaintif dan defendan dipanggil memberikan keterangan. Susulan keputusan mahkamah, DBKL telah memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi.
Sumber: BERNAMA









































