Seramai 21 daripada 33 penyokong Selangor FC yang ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung insiden berarak dan membakar suar di Jambatan Angkat Kuala Terengganu di sini semalam, didapati positif dadah.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin, berkata ujian saringan air kencing mendapati kesemua individu terbabit yang berusia antara 17 hingga 43 tahun itu positif dadah jenis THC atau ganja.
“Tiga suspek disyaki memiliki dadah dipercayai jenis ganja seberat keseluruhan 19.1 gram dan erimin 5 (0.37 gram).
“Mereka disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12(2) akta sama,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini, hari ini.
21 Penyokong Selangor FC Positif Dadah
Menurut Mohd Khairi, sembilan individu turut ditahan kerana memiliki 70 unit suar dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM7,500.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
“Sebanyak 54 daripada 70 suar tersebut telah dibakar sewaktu berarak di atas Jambatan Angkat Kuala Terengganu atau Drawbridge,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan bahawa enam daripada 33 suspek merupakan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), manakala seorang lagi pelajar sekolah menengah.
“Kesemua suspek ditahan reman selama empat hari sehingga Khamis ini,” katanya.
Sumber: FB AADK Daerah Kuala Terengganu, Utusan Kosmo! Online (Nursyasya Nadhirah Zabidi)










































