Perdana Menteri India, Narendra Modi memuji perkembangan pesat warisan budaya India di Malaysia serta mengiktiraf peranan penting komuniti India Malaysia dalam memeliharanya.
“Di mana sahaja mereka berada, mereka terus memelihara dan mempromosikan intipati budaya mereka.
“Komuniti India kita di Malaysia juga melakukan usaha yang terpuji dalam hal ini,” kata Modi dalam episod terbaharu program radio bulanan beliau, Mann Ki Baat, yang disiarkan dalam Bahasa Hindi, bahasa utama di utara India, sempena sambutan Hari Republik India.
Modi Puji Komuniti India Malaysia
Modi berkata, rakyat pasti terkejut apabila mengetahui terdapat lebih 500 sekolah Tamil di Malaysia yang bukan sahaja mengajar Bahasa Tamil, tetapi juga mata pelajaran lain dalam bahasa tersebut.
Selain itu, bahasa India lain seperti Telugu dan Punjabi turut diberi perhatian di beberapa institusi pendidikan.
“Pada hari ini, budaya dan perayaan kita meninggalkan kesan di seluruh dunia.
“Perayaan India disambut dengan penuh semangat dan kegembiraan di setiap pelosok dunia,” kata beliau lagi.
Dalam episod ke-130 Mann Ki Baat, Modi turut menekankan peranan pertubuhan berpangkalan di Malaysia, Malaysia India Heritage Society, yang dikatakan berjaya “memperkukuh hubungan sejarah dan budaya” antara Malaysia dan India.
Beliau menekankan bahawa pertubuhan itu menganjurkan pelbagai aktiviti berkaitan warisan, termasuk program pendidikan dan budaya.
“Bulan lalu, acara ikonik Lal Paad Saree Walk dianjurkan di Malaysia. Sari ini mempunyai hubungan istimewa dengan budaya Bengal.
“Acara ini mencatat rekod sebagai jumlah peserta paling ramai mengenakan sari, yang direkodkan dalam Malaysia Book of Record,” kata Perdana Menteri India itu.
Lawatan terakhir Modi ke Malaysia adalah pada 2015, dan beliau dijangka kembali ke negara ini pada awal Februari 2026.
Artikel lain: Warga India Tular Disiram Depan Bank Dapat Semula Pasport, Pulang Ke Negara Asal Esok
Selain itu, pada Oktober lepas, beliau turut menyertai Sidang Kemuncak ASEAN dan Sidang Kemuncak Asia Timur yang dipengerusikan oleh Malaysia secara maya.
Hubungan dua hala Malaysia-India semakin diperkukuh apabila Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengadakan lawatan rasmi ke New Delhi pada Ogos 2024, yang meningkatkan tahap kerjasama antara kedua-dua negara kepada perkongsian strategik komprehensif.
Sumber: BERNAMA










































