Connect with us

Hi, what are you looking for?

Kolumnis

Mari Kita Tunjukkan Jalan Perbankan Islam Di Rusia

Bulan Julai lalu, Parlimen Rusia telah memberikan lampu hijau kepada program perintis selama dua tahun yang bakal memperkenalkan perbankan Islam di empat republik di negara itu iaitu Bashkortostan, Chechnya, Dagestan, dan Tatarstan bermula 1 September depan.

Menariknya, keempat-empat republik yang majoritinya menganut agama Islam tersebut mempunyai populasi sekitar 20 juta orang atau hampir dua pertiga daripada keseluruhan rakyat Malaysia.

Manakala Malaysia sememangnya dikenali umum sebagai antara peneraju utama industri kewangan Islam global. Terutama sekali dalam pasaran modal Islam melalui terbitan ṣukūk (bon Islamik) yang juga merupakan antara yang terbesar dunia. Malahan, menurut laporan ICD-Refinitiv, Malaysia mengungguli Petunjuk Pembangunan Kewangan Islam (IFDI) 2022 yang mengukur dimensi seperti prestasi kewangan, tatakelola, kelestarian, pengetahuan, dan kesedaran mengenai kewangan Islam.

Justeru, pengenalan sistem kewangan Islam di Rusia merupakan peluang yang semestinya tidak boleh dilepaskan oleh pemain industri kewangan Islam Malaysia dengan menuai faedah penggerak pertama (first-mover advantage) melalui tiga langkah berikut. Langkah pertama ialah dengan memanfaatkan kepakaran dan kelebihan Malaysia terutamanya dalam kesiapsiagaan modal insan dengan memperhebat perjanjian dan kerjasama dua hala.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Foto: Bloomberg

Langkah ini bakal menggalakkan pertukaran pengetahuan dan inisiatif bersama dalam kewangan Islam. Langkah ini boleh melibatkan penganjuran seminar, bengkel dan persidangan untuk mendidik pemain industri, pengawal selia dan ahli akademik kewangan Rusia mengenai prinsip dan faedah kewangan Islam.

Sebagai contoh, institusi pengajian tinggi Malaysia yang mengkhusus dalam disiplin perbankan dan kewangan Islam seperti Institut Perbankan dan Kewangan Islam UIAM (IIiBF) boleh mewujudkan perkongsian pintar dengan universiti-universiti Rusia terutama sekali di republik-republik yang didiami majoritinya oleh orang-orang Islam.

Perkongsian pintar sebegini bakal merancakkan inisiatif pertukaran pelajar, usaha penyelidikan kolaboratif, pertukaran ahli akademik bagi memudahkan perkongsian pengajaran dan penyelidikan, seminar maya yang menyatukan pakar untuk berwacana, pusat penyelidikan bersama yang memperkasakan penyelidik, penerbitan bersama, dan perkongsian inovasi memupuk permulaan dan pemindahan teknologi berkait kewangan Islam.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Manakala langkah kedua ialah melalui kerjasama dengan institusi kewangan Rusia untuk mewujudkan tetingkap perbankan Islam (Islamic banking windows) dan memperkenalkan produk kewangan patuh Syariah melalui jurubank Rusia dalam operasi dan peraturan perbankan Islam.

Malahan, pengenalan perbankan Islam melalui tetingkap ini juga selari dengan pendekatan beransur-ansur ketimbang melaksanakan sistem perbankan Islam penuh secara mendadak (full-fledged Islamic banking system) dengan memanfaatkan infrastruktur kewangan sedia ada sambil menampung keperluan dan keutamaan penduduk Islam dan bukan Islam Rusia.

Selain itu, penyepaduan produk kewangan Islam dalam institusi perbankan konvensional bakal meningkatkan kebolehcapaian dan kebiasaan bagi orang bukan Islam sekali gus memperluaskan capaian kewangan Islam di Rusia. Pendekatan ini juga merupakan pendekatan yang lebih pragmatik dengan menggunakan infrastruktur sedia ada yang menatijahkan pengoptimuman sumber dan mengurangkan perbelanjaan operasi. Pendekatan beransur-ansur melalui tetingkap perbankan Islam juga memupuk sensitiviti budaya dan keterangkuman, menjadikan perbankan Islam jauh lebih menarik kepada warganegara Rusia secara umumnya.

Sebagai contoh, Bank Islam Malaysia Berhad yang juga merupakan perintis perbankan Islam di negara ini boleh berkongsi kepakarannya dalam membantu bank Rusia dalam menubuhkan tetingkap perbankan Islam. Di samping itu, melalui penawaran produk kewangan Islam seperti takaful atau dana pelaburan Islam, bank-bank Rusia yang mengambil bahagian dalam projek perintis ini boleh mewujudkan permintaan untuk perkhidmatan kewangan Islam yang lebih komprehensif—termasuklah produk pengurusan kewangan.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Langkah ketiga ialah melalui perkongsian amalan terbaik berkaitan rangka kerja kawal selia kewangan Islam Malaysia dari Bank Negara Malaysia (pengawal selia industri perbankan Islam) dan Suruhanjaya Sekuriti (pengawal selia pasaran modal Islam) dengan Bank Pusat Rusia.

Kerjasama ini boleh dizahirkan melalui perkongsian rangka kerja dan garis panduan kawal selia, dan mekanisme atau tatacara untuk menyelia institusi dan urusniaga kewangan Islam. Pertukaran pengetahuan kawal selia ini boleh membuka jalan bagi kelancaran pelaksanaan dan pengawasan aktiviti kewangan Islam di Rusia.

Untuk rekod, ketiga-tiga langkah di atas merupakan langkah jangka masa pendek yang boleh diaturgerak dengan kadar segera oleh pemain industri kewangan Malaysia kerana para pemain industri kewangan Islam Malaysia sememangnya berpengalaman dalam usaha memperkenal dan mempelopori sistem perbankan Islam di beberapa negara Afrika dan Asia Tengah.

Kendatipun begitu, sekiranya projek perintis ini berjaya, Malaysia berpeluang untuk terus mengorak langkah dengan menawarkan kepakaran penerbitan ṣukūk. Sebagai contoh, bank-bank pelaburan Malaysia boleh bertindak sebagai penasihat atau pengatur utama (lead arranger) dalam penstrukturan ṣukūk di Rusia untuk menarik pelabur dan merangsang pertumbuhan ekonomi melalui penerbitan ṣukūk untuk projek-projek pembangunan Rusia.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Foto: BERNAMA

Selain itu, langkah ini juga boleh memperkenalkan peluang pelaburan yang pelbagai kepada para pelabur di Malaysia. Memandangkan ṣukūk mematuhi prinsip Syariah, ia sejajar dengan nilai pelaburan patuh Syariah yang mencari pilihan pelaburan yang beretika dan bertanggungjawab secara sosial.

Di samping itu, Rusia juga boleh memanfaatkan rangkaian pengurus dana patuh Syariah antarabangsa yang sudah mengenali amalan kewangan Islam bereputasi seperti Malaysia. Sebagai contoh, Malaysia boleh membantu dalam penstrukturan ṣukūk untuk projek infrastruktur Rusia, sama seperti cara Kerajaan Malaysia yang menerbitkan ṣukūk kelestarian yang pertama seumpamanya di dunia pada 2021 di mana aset pendasarnya ialah baucar yang mewakili kelayakan perjalanan menggunakan sistem pengangkutan kereta api awam.

Melalui langkah-langkah di atas, Malaysia boleh membantu Rusia untuk membangunkan sektor kewangan Islamnya, yang akhirnya akan membawa kepada peningkatan pelaburan rentas sempadan dan kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara.

Advertisement. Scroll to continue reading.
+ posts

Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya dan Setiausaha Majlis Pendidik Kewangan Islam Antarabangsa (ICIFE).

Dr. Mohd. Zaidi Md. Zabri

Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya dan Setiausaha Majlis Pendidik Kewangan Islam Antarabangsa (ICIFE).

Continue Reading
Advertisement
Advertisement

Artikel Menarik Lain

Sukan

Semangat kelab pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang menunjukkan sikap profesional dan komited untuk meneruskan perlawanan meraih pujian Menteri Besar (MB) Johor. Menerusi perkongsian...

Sukan

Atlet kayak Malaysia, Siti Nurul Masyitah Elias dilaporkan cedera parah selepas dipercayai dilanggar oleh pemandu mabuk pada Sabtu. Menerusi satu perkongsian di Instagram, Persatuan...

Nasional

Malaysia Artificial Intelligence Nexus 2024 (MY AI NEXUS) dianjurkan bagi mengumpulkan pakar-pakar tersohor dalam bidang kecerdasan buatan (artificial intelligence atau AI), universiti, industri, agensi-agensi...

Kolumnis

Malaysia sebuah negara yang mempunyai kepadatan penduduk sebanyak 33.7 juta (DoSM, 2024). Daripada jumlah penduduk ini, generasi dan usia dibahagikan kepada beberapa lapisan iaitu...

Advertisement

Hakcipta © 2018 Borakdaily.com, Powered by OMM Media Sdn Bhd