Connect with us

Hi, what are you looking for?

Nasional

Malaysia Sambut Baik Tawaran Pakistan Anjur Dialog AS-Iran

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik tawaran Pakistan untuk menganjurkan dialog antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran, yang disifatkan bertepatan pada masanya dan konstruktif ketika ketegangan yang kian meruncing.

Dalam sebuah video dimuat naik menerusi Facebook pada Rabu, Anwar memuji rakan sejawatnya Shehbaz Sharif serta pemimpin negara-negara lain termasuk Oman, yang tampil membantu mempermudah usaha diplomasi.

“Hubungan Pakistan dengan pihak berkepentingan serta kedudukannya sebagai suara yang dipercayai dalam dunia Islam meletakkan negara itu berada pada kedudukan kukuh untuk membantu mewujudkan syarat bagi rundingan yang bermakna,” katanya.

Anwar berkata, Malaysia menyokong inisiatif itu serta mengharapkan AS dan Iran akan turut menyambut baik usaha itu.

“… ia menunjukkan bahawa masih terdapat ruang bagi diplomasi. Ruang itu perlu diambil serius seperti yang sewajarnya,” ujarnya.

Beliau berkata, sebarang rundingan perlu dilaksanakan bersandarkan kepada niat yang tulus, komitmen jelas untuk menamatkan konflik dan bukannya sekadar mengawal tempo konflik untuk kelebihan taktikal.

Advertisement. Scroll to continue reading.
“Masyarakat antarabangsa sudah menyaksikan terlalu banyak gencatan senjata yang sekadar berfungsi sebagai jeda dan bukannya penyelesaian. Rantau berkenaan sewajarnya menerima sesuatu yang lebih kekal,” kata Anwar.

Anwar berkata, walaupun Malaysia menegaskan sekali lagi hak Iran untuk mempertahankan kedaulatannya di bawah undang-undang antarabangsa, terutamanya berdepan serangan Israel yang berterusan di negara itu dan Lubnan, beliau menyeru semua pihak supaya bertenang.

Beliau menegaskan, ini bagi memastikan rakyat dan infrastruktur negara jiran, khususnya negara Teluk, tidak terjerumus ke dalam kancah konflik yang bukan pilihan mereka.

“Negara-negara Teluk, rantau berkenaan dan dunia mempunyai banyak kepentingan dari segi ekonomi, sosial dan kestabilan jangka panjang, dan rakyat mereka tidak seharusnya menanggung akibat daripada keputusan yang dibuat di tempat lain,” tegasnya.

Perdana Menteri juga menyuarakan kebimbangan mengenai penerapan peraturan antarabangsa berasaskan peraturan yang tidak sekata, dan menegaskan bahawa undang-undang antarabangsa tidak boleh digunakan secara terpilih.

“(Undang-undang antarabangsa) tidak boleh melindungi satu pihak daripada akauntabiliti dan menafikan hak pihak lain untuk mempertahankan diri. Kredibilitinya bergantung kepada konsistensi,” ujarnya.

Anwar berkata, beliau baru-baru ini mengadakan perbincangan dengan pemimpin Majlis Kerjasama Teluk, Turkiye, Mesir, Indonesia, Jepun, Pakistan dan rakan kongsi lain untuk memahami situasi dengan lebih baik dan mencari penyelesaian untuk menamatkan ketegangan.

Advertisement. Scroll to continue reading.
“Malaysia akan terus menyokong setiap usaha yang murni demi untuk keadilan dan mewujudkan  keamanan yang berkekalan,” jelasnya lagi.

Sumber: Bernama

Ditulis oleh

Advertisement

Artikel Menarik Lain

Spotlight

Pempengaruh media sosial, Ammar Nazhan selamat bertunang dengan kekasih hatinya, Elya Maisara dalam sebuah majlis pada Sabtu di Johor Bahru, Johor. Sedondon tema matcha...

Sosial

Seorang suami meluahkan rasa kecewa selepas mendakwa isterinya, yang dikenali sebagai Nurul Ain Syakinah Abdullah terlibat dalam hubungan curang bersama bekas teman lelakinya, dikenali...

Dunia

Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, melancarkan kempen ‘Thai Help Thai’ bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat dengan menurunkan harga lebih 3,000 barangan keperluan harian...

Sosial

Seorang Profesor dan Pakar Perunding Kanan Ortopedik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Mohd Yazid Bajuri, mencipta sejarah apabila menghasilkan kaki palsu mesra Muslim...

Advertisement

Hakcipta © 2018 Borakdaily.com, Powered by Infinity Media Digital Sdn Bhd