Suspek yang dipercayai terlibat dalam insiden tembakan ke arah kenderaan milik Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di Bukit Kayu Hitam semalam telah diberkas polis.
Komander AKPS selamat
Menurut laporan Kosmo! Online, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihak berkuasa kini sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk proses merakam percakapan suspek bagi membantu siasatan kes berkenaan.
“Ia satu insiden yang amat kita kesal, tapi kita bersyukur kerana komander AKPS itu selamat ketika keluar awal pagi nak solat subuh, tembakan hanya kena pada kenderaannya.
“Tapi kita dah buat tangkapan tak sampai 24 jam dan sekarang sedang berlaku proses soal siasat,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di Kuala Lumpur hari ini.

Foto arkib: Bernama
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan yang dikemukakan oleh Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) berhubung insiden tembakan ke atas kenderaan seorang komander AKPS di Bukit Kayu Hitam, semalam.
Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution menekankan bahawa aspek keselamatan sempadan negara, termasuk kebajikan dan perlindungan anggota yang bertugas sentiasa menjadi fokus utama kerajaan.
Artikel lain: Kenderaan Komander AKPS Ditembak Ketika Menuju Ke Masjid Untuk Solat Subuh
Tegas beliau, negara tidak akan berkompromi dengan mana-mana bentuk ancaman dan segala langkah perlu sedang serta akan terus diperkukuhkan bagi memastikan keselamatan agensi penguat kuasa sentiasa terpelihara.
“Agensi yang bertanggungjawab di pintu sempadan berdepan dengan ancaman rentas sempadan; penyeludupan senjata, dadah dan manusia; pendatang asing tanpa izin, jenayah bersindiket dan segala macam adalah bentuk ancaman,” ujarnya.
Semalam, sebuah kenderaan jenis Proton X70 yang dinaiki Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M. Nasir dilaporkan menjadi sasaran dua das tembakan.

Foto: Kosmo! Online
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.40 pagi itu, dua lelaki yang menaiki motosikal dikatakan menghampiri kenderaan tersebut sebelum melepaskan tembakan ke arah Proton X70 yang dipandu beliau.
Sumber: Kosmo! Online (Zulkifli Manzor)







































