Jasa Allahyarhamah Normah Sabar tidak terhenti selepas pemergiannya apabila wanita yang dikenali sebagai juruukur wanita pertama negara itu turut menyumbang sinar baharu kepada sekurang-kurangnya lima pesakit menerusi pendermaan organ dan tisu.
Perkara itu dikongsikan Hospital Sungai Buloh (HSB) menerusi dua hantaran di Facebook yang memaparkan beberapa keping gambar serta video Walk of Honour bagi menghargai pengorbanan dan hasrat murni Allahyarhamah.
Menurut HSB, Allahyarhamah yang sepanjang hayatnya berkhidmat mendidik anak bangsa telah lebih awal berikrar sebagai penderma organ dan amanah itu akhirnya ditunaikan oleh ahli keluarga selepas beliau disahkan mengalami kematian otak.
Hospital itu menyifatkan Allahyarhamah sebagai seorang wanita luar biasa yang terus menabur jasa sehingga ke akhir hayat.
“Di masa hidupnya mendidik anak bangsa, di akhir nafasnya tetap menabur jasa. Satu penghormatan buat seorang wanita yang sungguh luar biasa, Allahyarhamah Puan Hajjah Normah.
“Komitmen mulia beliau yang telah berikrar sebagai penderma organ akhirnya ditunaikan dengan penuh amanah oleh anak-anak tercinta, selepas beliau diisytiharkan mengalami kematian otak,” menurut hantaran itu pada Isnin.
HSB memaklumkan, hasrat murni tersebut berjaya direalisasikan pada 21 Jun lalu dan organ serta tisu yang didermakan dijangka memberi manfaat besar kepada penerima yang memerlukan.
“Melalui anugerah kehidupan ini, organ dan tisu yang didermakan bakal menyelamatkan dan mengubah hidup sekurang-kurangnya lima orang pesakit,” katanya.
Dalam pada itu, HSB berkata, proses pemerolehan organ berkenaan turut mencatat sejarah baharu hasil kerjasama erat antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Menurutnya, pihak hospital berbesar hati dapat bekerjasama dengan Pasukan Pembedahan Hepatobiliari dari Universiti Malaya (UM) yang turut serta menjayakan misi berkenaan.
“Kes pemerolehan ini turut melakar sejarah baharu dalam kerjasama erat antara KKM dan KPT.
“Kami amat berbesar hati dapat berganding bahu bersama Pasukan Pembedahan Hepatobiliari dari UM yang turun padang demi menjayakan usaha murni ini,” ujar HSB.
Menerusi video Walk of Honour yang dikongsikan HSB, petugas kesihatan dilihat berbaris memberikan penghormatan terakhir ketika Allahyarhamah dibawa dari Unit Rawatan Rapi (ICU).
HSB turut merakamkan penghargaan kepada ahli keluarga Allahyarhamah atas keredaan mereka serta semua pasukan pakar bedah dari hospital tersebut dan UM yang bertungkus-lumus menjayakan misi berkenaan.
“Sekalung penghargaan buat ahli keluarga arwah atas keredaan ini, serta seluruh pasukan pakar bedah dari Hospital Sungai Buloh dan Universiti Malaya yang bertungkus-lumus menjayakan misi murni ini.
“Semoga roh arwah dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman,” katanya.
Sementara itu, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) menerusi satu hantaran berasingan memaklumkan bahawa Allahyarhamah telah meninggal dunia di HSB pada 20 Jun lalu.
“Dukacita dimaklumkan bahawa Puan Hajjah Normah binti Abdullah, yang merupakan juruukur wanita pertama negara, telah kembali ke rahmatullah pada 20 Jun 2026, jam 5.20 petang di Hospital Sungai Buloh, Selangor.
“Pihak Pengurusan dan seluruh warga JUPEM menyampaikan salam takziah buat keluarga Allahyarhamah,” maklum jabatan berkenaan.
Sumber: Facebook Hospital Sungai Buloh Selangor







































