Tiga buah rumah musnah dalam satu kejadian kebakaran dipercayai berpunca daripada perbuatan khianat melibatkan aktiviti along, awal pagi tadi.
Insiden yang berlaku sekitar jam 4.30 pagi itu menyebabkan lima buah kereta dan empat motosikal turut rentung, apabila letupan besar berlaku di sebuah rumah di Lorong Tasek Gelugor, dipercayai berpunca daripada bahan letupan yang dilempar masuk.
Menurut salah seorang mangsa dikenali Mohamad Asrul, mereka sekeluarga terselamat selepas dikejutkan oleh jiran-jiran yang membunyikan hon dan menggoyangkan pagar rumah.
“Kami sempat keluar dari rumah dan panjat pagar sebelah kiri kerana api dari rumah jiran di sebelah kanan sudah marak dan beberapa letupan turut berlaku,” katanya.
Orang Lain Pinjam Ahlong, Jiran Jadi Mangsa!
Siasatan awal mendapati kebakaran bermula dari rumah bernombor 3, sebelum merebak ke rumah nombor 5 dan sebuah lagi rumah berhampiran. Mangsa mendakwa kejadian ini bukan yang pertama berlaku di kawasan itu.
Pada 16 Jun lalu, mereka telah membuat laporan polis selepas menemui kesan simbahan petrol dan cat di rumah mereka serta rumah jiran.
Lebih mengejutkan, sebuah nota ugutan turut ditinggalkan di rumah nombor 3, lengkap dengan nama dan nombor kad pengenalan peminjam serta ancaman untuk membakar rumah.
“Rupa-rupanya surat ugutan itu sebenarnya ditujukan kepada rumah nombor 42, bukan rumah kami. Tapi kami pula yang kena,”luahnya.
![]()
Selepas laporan dibuat di Balai Polis Tasek Gelugor dan disusuli dengan sesi soal siasat di IPD Kepala Batas, pihak polis mengesahkan kes tersebut berkemungkinan besar melibatkan kegiatan ahlong yang tersalah sasaran.
Bagaimanapun, mangsa mendakwa tiada sebarang tindakan susulan diambil walaupun diminta untuk tunggu pihak polis datang mengambil bukti.
“Kami tunggu, tapi tiada sesiapa datang untuk ambil gambar atau bukti di rumah,”kongsinya lagi.
Artikel lain: Langgar Perodua Axia, Bapa Tujuh Anak Didenda RM13,000
Mangsa dan keluarga kini mengharapkan keadilan ditegakkan agar insiden tragis ini tidak berulang kepada orang lain yang tidak bersalah.
Mereka turut merakamkan penghargaan kepada pihak bomba, polis, IPK Pulau Pinang, pasukan forensik, jiran tetangga, agensi-agensi kebajikan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pihak zakat, TKM, KRT Tasek Gelugor, AJK surau serta semua pihak yang membantu dalam situasi kecemasan ini.
Sumber: FB Mohamad Asrul
