Sindiket pengedaran dadah yang menjadikan premis inap desa sebagai lokasi pembungkusan dan penyimpanan akhirnya terbongkar menerusi dua serbuan berasingan di sekitar Kuching bulan ini, dengan jumlah rampasan dianggarkan mencecah RM16.8 juta yang merupakan terbesar pernah direkodkan di Sarawak setakat ini.
Rampasan cecah 16.8 juta
Memetik laporan BERNAMA, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah, berkata dalam serbuan pertama pada 7 April lalu di sebuah inap desa di Santubong, pihak polis menahan seorang lelaki dan wanita berusia 41 dan 31 tahun.
“Hasil pemeriksaan di lokasi berkenaan membawa kepada rampasan pelbagai jenis dadah disyaki Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 107.5 kilogram (kg), ketamin (1.3 kg), pil Erimin 5 (180 gram), pil ekstasi (102 gram) dan syabu (28 gram).
“Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM16.2 juta dan dipercayai boleh digunakan 16,952 penagih dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, hari ini.
Beliau menjelaskan sindiket tersebut dikesan aktif sejak awal bulan ini dan menggunakan beberapa inap desa sebagai lokasi sementara untuk membungkus dadah sebelum berpindah bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.
Menurutnya, kedua-dua suspek yang dipercayai pasangan kekasih berperanan membungkus serta mengedar dadah ke lokasi yang ditentukan ahli sindiket lain melalui aplikasi WhatsApp.
“Mereka menerima bayaran kira-kira RM3,000 sebulan serta komisen RM5 bagi setiap peket dadah yang berjaya dibungkus,” katanya, sambil memaklumkan polis turut merampas sebuah kenderaan bernilai sekitar RM15,000 dan wang tunai RM1,856.
Operasi tersebut merupakan hasil kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bersama JSJN IPK Sarawak. Siasatan mendapati wanita yang ditahan mempunyai tiga rekod jenayah lampau, manakala kedua-dua suspek didapati negatif dadah.
Kedua-duanya telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuching pada 20 April lalu dengan empat pertuduhan di bawah Seksyen 39B(1)(alpha) Akta Dadah Berbahaya 1952, satu pertuduhan di bawah Seksyen 39A(1) akta sama serta dua lagi di bawah Seksyen 12(2).
Dalam serbuan kedua pada 19 April di sekitar Jalan Setia Raja, polis menahan dua lelaki tempatan berusia 28 dan 38 tahun hasil risikan bersama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).
Pemeriksaan terhadap suspek menemukan 1,281 peket katrij rokok elektronik yang disyaki mengandungi cecair ganja dengan anggaran berat 3.2 kg bernilai RM576,450.
“Kedua-dua suspek dipercayai berperanan sebagai runner dan transporter dalam rangkaian sindiket terbabit serta menerima bayaran kira-kira RM8,000 bagi setiap penghantaran,” katanya, sambil menambah kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Beliau turut memaklumkan kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan hasil ujian mendapati mereka negatif dadah. Polis juga menyita sebuah kenderaan bernilai kira-kira RM12,000.
Artikel lain: Budak Perempuan 3 Tahun Positif Bahan Terlarang! Polis Tahan Pempengaruh Bantu Siasatan
Dalam perkembangan lain, Mohamad Zainal berkata pendekatan “Tiada Hari Tanpa Tangkapan” yang dilaksanakan kontinjen Sarawak menunjukkan keberkesanan apabila sebanyak 5,151 tangkapan berkaitan dadah direkodkan dari 1 Januari hingga 19 April tahun ini, berbanding 3,728 dalam tempoh sama tahun lalu.
Tambah beliau, nilai rampasan dadah dan racun turut meningkat ketara kepada RM31.9 juta berbanding RM3.1 juta sebelum ini, iaitu lonjakan sebanyak 913.7 peratus.
Sumber: Bernama






































