Seorang guru wanita yang dipercayai terbabit dalam insiden merempuh dua pelajar hadapan surau sekolah hingga meragut nyawa seorang daripadanya, direman selama dua hari bagi membantu siasatan.
Menurut laporan Harian Metro, perintah reman terhadap guru berusia 57 tahun itu bermula hari ini hingga esok, selepas dibenarkan oleh Majistret Wan Muhammad Izzat Wan Abdullah.

Foto: BH Online
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari semalam di hadapan surau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Mas, seorang pelajar perempuan Tingkatan Satu, Nur Fatimatul Hawa Mohd Azaudin, 13, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan.

Foto: Media sosial
Seorang lagi pelajar yang turut menjadi mangsa dilaporkan mengalami kecederaan serius dan kini dirawat di Zon Merah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Foto : Media sosial
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri berkata, kejadian itu membabitkan sebuah kereta yang dipandu guru berkenaan dengan dua pelajar perempuan.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati pemandu dipercayai tertekan pedal minyak secara tidak sengaja sebelum kenderaan hilang kawalan dan terbabas ke arah mangsa.
Sumber: Harian Metro (Nor Fazlina Abdul Rahim)






































